Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan bahawa sistem pemeriksaan bagasi yang melepasi juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan bersama 70,000 biji pil ektasi di Indonesia minggu lalu tidak dikendalikan oleh mana-mana agensi di bawah naungannya.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menjelaskan bahawa sistem pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkenaan beroperasi di bawah kendalian kakitangan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports.
Menurut beliau, Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang merupakan salah satu daripada enam agensi teras di bawah AKPS, tidak terlibat dalam proses imbasan atau pemeriksaan bagasi juruterbang tersebut sebelum beliau menaiki pesawat, petik New Straits Times.
“Saya boleh mengesahkan bahawa pegawai Kastam di bawah AKPS tidak terlibat dalam proses pemeriksaan bagasi berkenaan di KLIA.
“Pemeriksaan bagasi tersebut dikendalikan oleh AVSEC. Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dikesan apabila bagasi juruterbang itu melalui mesin pengimbas sebelum beliau dibenarkan menaiki pesawat. Beliau telah melalui dan melepasi kesemua pemeriksaan keselamatan yang ditetapkan,” kata Shuhaily ketika dihubungi.
Siasatan Lanjut Sedang Dijalankan
Shuhaily menambah bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti bagaimana bekalan dadah tersebut boleh terlepas daripada dikesan, meskipun menggunakan teknologi imbasan bagasi yang canggih.
Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut kerana bimbang ulasan terperinci boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan.
Mengulas mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung penahanan juruterbang itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 28 Julai lalu, Shuhaily mengingatkan bahawa kerangka undang-undang di Indonesia adalah berbeza berbanding Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar memberikan ruang dan masa kepada pihak penyiasat untuk melengkapkan siasatan serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan.