Bagi warga utara di Kedah dan Perlis, Ayam Bismi bukanlah satu nama yang asing. Ia adalah jenama ayam segar halal yang mempunyai standard piawaian ketat dengan pengawasan Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).
Baru-baru ini pihak tertinggi Ayam Bismi menjejakkan kaki ke Kaduna, Nigeria. Tujuannya, bersama-sama menyantuni komuniti Islam di sana dengan pelbagai aktiviti kebajikan.
12 Disember 2025 menjadi detik bersejarah bagi jenama Ayam Bismi kerana sebuah masjid wakaf yang dinamakan Masjid Nur Bismi telah dirasmikan.


Pembinaan Masjid Nur Bismi itu diuruskan oleh Yayasan Amal Malaysia.
“Akhirnya, dengan penuh rendah hati, kami menjejakkan kaki ke bumi Nigeria sebuah tanah yang mengajar kami erti syukur, kasih sesama umat dan nilai sebenar sebuah pemberian. Masuk hari ketiga, hati kami semakin terpaut dengan masyarakat Islam di sini yang begitu sederhana namun kaya dengan jiwa.
“Pada hari pertama, kami diberi peluang mengagihkan naskhah Al-Quran kepada penduduk di kawasan pedalaman. Saat kenderaan kami berhenti dan Al-Quran mula diagihkan, anak-anak kecil berlari, berebut, memeluk kitab suci itu seakan memegang harta paling berharga dalam hidup mereka. Ketika itulah kami tersedar nilai wang ringgit tidak mampu menandingi cahaya ilmu yang dibawa oleh senaskhah Al-Quran kepada mereka,” petik hantaran Ayam Bismi.
Dalam masa sama pihak tertinggi Ayam Bismi melawat sebuah masjid yang kini sudah siap hampir 60%, hasil sumbangan individu Nigeria yang pemurah.

Terdapat telaga yang dibina oleh Jemaah Masjid Pondok Fauzi Yan Kedah. Ia menjadi sumber air bersih untuk warga setempat.
Selain itu, 8 bahagian lembu turut ditumbangan bersempena aqiqah yang ditaja oleh Ayam Bismi kepada tujuh orang anak Top Team Ayam Bismi.