Dunia hari ini sememangnya penuh dengan pelbagai kisah pelik dan kadang-kala di luar jangkauan akal fikiran kita.
Terbaru, sebuah insiden yang berlaku di Soi Vibhavadi Rangsit 66, Bangkok berjaya mencuri tumpuan ramai, namun atas sebab yang sangat tidak disangka-sangka.
Seorang lelaki warga Thailand berusia 51 tahun telah ditahan oleh pihak polis pada 10 September lalu selepas dia dirakam menceroboh sebuah kolam ikan persendirian.
Jika anda fikir dia mahu mencuri ikan tersebut untuk dijual, anda silap besar.
Kejadian yang berlaku pada 7 September itu terbongkar selepas pemilik kediaman memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Berdasarkan rakaman, suspek dilihat tiba dengan menaiki basikal sebelum memarkirnya di sebelah kolam ikan berkenaan.
Alasan yang tidak masuk akal
Ketua Balai Polis Thung Song Hong, Pol. Col. Yutthasilp Karin mengesahkan tangkapan tersebut dan berkongsi butiran lanjut mengenai siasatan awal. Beliau menyatakan bahawa suspek pada awalnya hanya dilihat berjalan mengelilingi kawasan kolam.
“Suspek kemudiannya bertindak menanggalkan pakaian sehingga bogel, turun ke dalam kolam dan menangkap seekor ikan koi. Dia menggunakan ikan tersebut untuk melakukan perbuatan tidak senonoh sebelum melepaskannya semula ke dalam air,” jelas beliau kepada pihak media tempatan.
Apabila ditahan beberapa hari kemudian dalam pakaian yang sama ketika hari kejadian, suspek langsung tidak menafikan perbuatannya.
Malah, dia memberikan alasan yang cukup membuatkan pihak polis menggeleng kepala.
Suspek mendakwa pada awalnya dia hanya singgah di situ untuk mandi, namun tiba-tiba berasa terangsang lalu bertindak menangkap ikan tersebut.
Pemilik buka mulut
Pemilik kolam yang dikenali sebagai Bobby menjelaskan bahawa beliau sudah memelihara ikan koi tersebut sejak lapan tahun lalu. Menurutnya, suspek merupakan individu yang kerap lalu-lalang di hadapan rumahnya dan kadangkala berhenti untuk mandi di kawasan berkenaan, namun beliau tidak mengesyaki sebarang perkara mencurigakan pada mulanya.
Keraguan Bobby hanya timbul apabila ikan koinya mula mati seekor demi seekor dengan keadaan badan yang melengkung dan membengkok.
Walaupun pada awalnya beliau menduga kecederaan fizikal tersebut berpunca daripada ikan yang berlaga atau terhentak pada dinding kolam, kejadian sebenar akhirnya terbongkar selepas pemeriksaan lanjut dilakukan.
Bukan kesalahan pertama

Lebih mengejutkan, sewaktu disoal siasat, suspek mengaku berada di bawah pengaruh dadah.
Dia juga secara selamba memberitahu pihak penyiasat bahawa dia memang sengaja memilih ikan koi kerana sedar ikan bandaraya (sucker fish) mempunyai duri yang boleh menyakitkannya.
Ini juga bukanlah kali pertama dia berkelakuan sedemikian rupa terhadap haiwan. Suspek mengaku pernah ditangkap oleh polis Bang Khen sebelum ini dan dipenjarakan kerana melakukan perbuatan jijik terhadap seekor anjing betina.
Selain itu, dia juga pernah melempiaskan nafsu menggunakan patung yang dikutip di tempat pembuangan sampah.
Suspek mendakwa dia terpaksa berbuat demikian kerana hidup bersendirian dan tidak mempunyai wang untuk mendapatkan layanan berbayar.
Kini, lelaki tersebut berdepan dengan pelbagai pertuduhan serius. Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan yang merangkumi pertuduhan kekejaman terhadap haiwan, merosakkan harta benda, kelakuan tidak senonoh serta menceroboh pada waktu malam.