Malaysia menamatkan penantian sembilan tahun untuk mara ke pentas final Kejohanan Badminton Remaja Dunia dalam acara berpasukan selepas berjaya menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung malam tadi.
Beraksi dengan format masing-masing satu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran untuk mendapatkan 55 mata penamat terlebih dahulu, skuad negara nyata begitu cemerlang untuk meraih kemenangan.
Malaysia Tamatkan Penantian Ke Final
Malaysia bagaimanapun ketinggalan pada permulaan set pertama apabila perseorangan lelaki, Tiew Wei Jie tewas 6-11 kepada Fardhah Rainanda Joe.
Bagaimanapun, gandingan Genevie Lim-Low Zi Yu dalam beregu wanita bangkit mempamerkan aksi terbaik untuk menjadikan kedudukan 22-17 dengam menewaskan Atresia Naufa Candani-Aurelia Syakira Putri.
Pemain perseorangan wanita Indonesia, Jolin Angelia kembali meletakkan Indonesia dihadapan dengan kemenangan 33-32 ke atas Carine Tee.
Pasangan beregu campuran negara yang diwakili Zulwaqqarizal Ahmad dan Low Zi Yu bangkit dengan penuh bergaya untuk menundukkan Moses Andar Simanjuntak-Reya Azzahra Yulianti 44-43.

Kecemerlangan itu diteruskan Damien Ling-Shazmir Irfan Sharul untuk mengesahkan set pertama menjadi milik Malaysia dengan kemenangan 55-49 ke atas Faizal Pangestu-Anju Siahaan.
Set kedua menyaksikan laluan lebih mudah dihadapi skuad negara dengan Wie Jie menang 11-7 ke atas Fardhan dan kemudiannya Genevie-Zi Yu menjadikan kedudukan 22-17.
Carine pula meneruskan rentak kemenangan meskipun beliau dicabar hebat Jolin dengan kemenangan 33-28.
Zulwaqqarizal Ahmad-Low Zi Yu menjadikan kedudukan 44-37 dan akhirnya Isyraf Hafizin Ibrahim-Zulwaqqarizal Ahmad memastikan slot ke final menjadi milik Malaysia dengan kemenangan 55-42.
Skuad negara akan bertemu China di pentas final yang berlangsung pada jam 10.00 pagi di Cairo Mesir.