Beberapa minggu yang lalu kita dikejutkan dengan banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor, Perlis, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.
Berdepan musim tengkujuh, ada satu perkara yang muncul kembali dalam memori peminat bola sepak serantau ialah sebuah kisah kecil tetapi sangat besar maknanya.
Baca Juga:
- Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir Di Hatyai Dedah Sikap Buruk Rakyat Malaysia

- Buat Lawak Tentang Musibah Banjir Di Selatan Thailand, ‘Page’ Ini Dikecam Teruk

- Amaran Banjir Tahap Merah, Proses Selamatkan Lebih 1,000 Pelancong Malaysia Di Hat Yai Terbantut

Ia mengimbau kembali kisah tentang Jalor City FC (kini dikenali sebagai FC Yala selepas penjenamaan semula pada 2023) yang beraksi dalam saingan Thai League 3 dimana kelab tersebut telah mengambil inisiatif murni dalam membantu mangsa banjir di Malaysia pada 10 Januari 2022.
Ketika itu, negara kita sedang bergelut dengan bencana besar. Ribuan keluarga kehilangan rumah, kenderaan ditenggelami air, dan ramai terputus bekalan.
Inisiatif Murni Kelab Bantu Mangsa Banjir
Di tengah kesukaran itu, hadir satu bentuk solidariti yang tidak disangka-sangka apabila Yala FC melancarkan bidaan terbuka di atas talian bagi membolehkan para penyokong mereka menderma sambil mendapatkan jersi ‘matchworn’ barisan pemain kesebelasan utama pasukan tersebut.
Bidaan permulaan dilaporkan bernilai 600 Baht (kira-kira RM75), manakala untuk kenaikan bidaan pula telah ditetapkan sebanyak 50 Baht.

Kelab itu juga menunjukkan solidariti dengan memaparkan banting ‘#PrayForMalaysia Flooding’ pada perlawanan liga bertemu Songkhla FC, Disember 2021.
Inisiatif kecil dari kelab kecil di Yala itu mungkin tidak mengubah dunia. Tetapi ia mengubah hari seseorang yang memerlukan bantuan pada waktu itu.
Dan mungkin, kisah seperti ini boleh menjadi inspirasi untuk lebih banyak kelab sama ada dari Malaysia atau luar bagi melakukan hal yang sama ketika jiran mereka memerlukan.
Kerana akhirnya, bola sepak ini milik manusia dan manusia saling memerlukan.