Sejak tahun 2016, satu inisiatif penuh makna sudah berjalan di kawasan luar bandar Sabah — khususnya di Sook, Keningau.

Melalui Program Pertanian Organik oleh Women Of Will (WOW), ramai wanita luar bandar daripada 25 komuniti telah berjaya mengubah kehidupan mereka; daripada hanya bergantung kepada hasil harian, kepada membina pendapatan mampan, semangat kepimpinan dan keyakinan diri.

Setakat hari ini, program ini telah menyokong lebih 372 wanita petani dan melahirkan 59 Pemimpin Komuniti, yang kini bukan sahaja mengurus ladang mereka sendiri tetapi juga memainkan peranan penting dalam membimbing komuniti sekitar.

Apa yang menarik, program ini bukan hanya memfokuskan bercucuk tanam. Ia adalah tentang memberi ilmu, menyediakan alatan, dan membina peluang — supaya wanita boleh berdikari, menjana pendapatan, dan menyumbang semula kepada kampung mereka.

Pertanian + Keusahawanan = Resipi Kejayaan

Bagaimana Program Kebun Organik WOW Ubah Kehidupan Wanita Luar Bandar Di Sabah

Peserta program ini bukan sekadar mempelajari teknik pertanian organik. Mereka juga diberi latihan keusahawanan, peralatan pertanian, dan sokongan penuh untuk mengurus kebun mereka seperti sebuah bisnes.

Hasil yang ditanam tidak lagi terhad untuk kegunaan keluarga — sebaliknya dipasarkan ke luar kawasan, membuka akses kepada pasaran lebih luas dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

Bila Komuniti Berkumpul, Keajaiban Terjadi

Bagaimana Program Kebun Organik WOW Ubah Kehidupan Wanita Luar Bandar Di Sabah

Setiap tahun, WOW juga menganjurkan Hari Komuniti — satu acara yang bukan saja meriah, tapi padat dengan manfaat seperti membuka akses kepada pelbagai peluang sokongan dan pembangunan untuk komuniti. Antara pengisian termasuk:

– Pemeriksaan kesihatan percuma (dengan kerjasama National Cancer Society of Malaysia (NCSM) & klinik kesihatan tempatan)

– Sesi literasi kewangan & kaunseling oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Booth oleh Pusat Kraftangan Sabah, Good Shepherd Services, dan lain-lain

– Sokongan veterinar untuk penternakan

Organisasi-organisasi ini diperkenalkan kepada komuniti supaya mereka dapat berkongsi tentang perkhidmatan yang ditawarkan serta lebih mengenali komuniti, dengan harapan dapat memberi sokongan yang lebih bermakna dan berterusan.

Tapi yang paling membanggakan, acara ini memberi peluang kepada Pemimpin Komuniti untuk menunjukkan bakat sebenar mereka — daripada pengurusan acara, kerjasama dengan pihak luar, sehinggalah menjadi orang tengah dalam menyuarakan keperluan komuniti.

Daripada Idea Kecil ke Impak Besar: Kisah Kampung Maatol di Sabah

Salah satu kisah paling menginspirasikan datang dari Kampung Maatol, di mana sekumpulan bekas peserta WOW berjaya membuka dua perniagaan kecil yang memberi impak besar kepada kampung mereka:

Bagaimana Program Kebun Organik WOW Ubah Kehidupan Wanita Luar Bandar Di Sabah
Warung WOW Kampung Maatol

Warung WOW – Warung kecil tapi penuh jiwa yang menyajikan hidangan tempatan seperti mi goreng, nasi goreng dan sup panas. Ia bukan sekadar tempat makan, tapi jadi tempat orang kampung lepak, berkongsi cerita, dan eratkan hubungan sesama jiran.

Sabah
Kedai Runcit WOW Kampung Maatol

Kedai Runcit WOW – Sebuah kedai keperluan harian yang menjual barangan asas seperti makanan ringan, mi segera, barangan rumah dan keperluan wanita. Kedai ini sangat penting terutamanya buat warga emas yang sukar ke pekan.

Dua perniagaan ini bukan sahaja bawa pendapatan kepada para wanita yang mengusahakannya, tapi jadi bukti bahawa bila komuniti diberi peluang — mereka mampu cipta perubahan dari dalam.

Bagaimana Program Kebun Organik WOW Ubah Kehidupan Wanita Luar Bandar Di Sabah

“Bila wanita diberi ilmu, akses kepada sumber dan sokongan, mereka bukan saja boleh ubah hidup sendiri — malah jadi tulang belakang pembangunan komuniti. Sokongan berterusan kepada komuniti seperti di Sook sangat penting agar mereka tidak ketinggalan,” kata Gary, Pegawai Projek (Sabah).

Program WOW ini mungkin bermula dengan benih kecil — tapi jelas apa yang sedang tumbuh di Sabah hari ini ialah komuniti yang lebih kuat, wanita yang lebih berdaya saing, dan masa depan yang lebih cerah.

Sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang projek sedia ada dan akan datang Women Of Will, https://www.womenofwill.org.my/ untuk maklumat lanjut.