Baru-baru ini, tular sebuah video yang memperlihatkan bekas tentera marin Indonesia, Sarjan Satria Arta Kumbara merayu kerajaan negaranya membantu dia menamatkan kontrak dengan tentera Rusia di bawah Menteri Pertahanan Rusia.
Dia kini berdepan dilema besar selepas kontrak yang ditandatanganinya dengan Kementerian Pertahanan Rusia secara tidak langsung telah menyebabkan kehilangan kewarganegaraannya.
Ex-Indonesian Marine who joined the Russian Army in Ukraine begs Indonesian Govt to help him terminate his contract with 🇷🇺 MoD, return to 🇮🇩, and restore his 🇮🇩 citizenship. He apologizes, saying that joining 🇷🇺 force is not worth losing his citizenship and he did it only for 💵 https://t.co/Xj09ptgE4P pic.twitter.com/xQlmJLsuTT
— JATOSINT (@Jatosint) July 21, 2025
Tambahnya lagi, Satria amat menyesal dengan keputusan tersebut dan merayu kepada Kerajaan Indonesia agar dapat membantunya secara diplomatik untuk menamatkan kontrak dengan tentera Rusia dan membolehkannya pulang ke tanah air.
Memetik CNN Indonesia, Satria merayu kepada Presiden Prabowo Subianto, Wakil Presiden Gibran Rakabuming Raka, dan Menteri Luar Negeri Sugiono agar beliau dibenarkan pulang ke Tanah Air.
Difahamkan kisah Satria ini bukan satu-satunya yang menjadi mangsa keadaan. Rusia dilaporkan sedang giat merekrut warga asing, terutamanya dari negara-negara membangun, untuk dihantar berperang di medan perang Ukraine.
Rupanya guna modus operandi rekrut yang licik

Rusia menggunakan pelbagai kaedah licik untuk merekrut tentera upahan asing, dengan umpanan insentif lumayan seperti gaji tinggi, permit kediaman, malah tawaran kerakyatan hanya dengan berkhidmat selama setahun.
Perekrutan ini menyasarkan warga dari negara-negara seperti Nepal, India, Indonesia, Sri Lanka, Somalia, hingga Cuba.
Kebanyakan daripada mereka adalah pekerja migran, penganggur, atau individu yang bergelut dengan masalah imigresen, menjadikan mereka sasaran mudah.
Modus operandi perekrutan termasuklah promosi aktif di media sosial seperti YouTube, penggunaan agen, atau melalui rangkaian perekrut yang menjanjikan pekerjaan kononnya “selamat” di Moscow.
Hakikatnya, janji-janji ini seringkali berakhir dengan individu-individu ini dihantar terus ke medan perang.
Banduan juga dipancing

Rusia bukan sahaja merekrut warga asing, malah turut memancing banduan dari penjara dengan pelbagai janji palsu jika mereka bersedia berjuang.
Difahamkan Rusia memancing banduan dari penjara dengan janji penghapusan hukuman, serta memaksa pelajar dan pekerja migran untuk menyertai tentera dengan ugutan tidak melanjutkan visa.
Ramai yang dijanjikan tugas ringan, tetapi sebaliknya dihumban ke zon konflik tanpa latihan, bantuan perubatan, atau kemudahan bahasa yang mencukupi, menyebabkan ramai yang cedera parah atau terkorban.
Seorang pemuda Sri Lanka berusia 21 tahun menjadi mangsa terbaharu taktik licik Rusia.
Dilaporkan oleh media barat DW, beliau sangka akan berkhidmat sebagai pembantu logistik dengan janji gaji lumayan AS$2,300 (sekitar RM10,800) sebulan serta kerakyatan Rusia untuk dirinya dan ibu bapanya.
Malangnya, impiannya bertukar mimpi ngeri apabila beliau terus dihantar ke garisan hadapan di Ukraine dan ditangkap selepas cedera.
Mereka sering kali diugut hukuman penjara sehingga 15 tahun jika cuba melarikan diri atau meminta pulang, berdasarkan kontrak ketenteraan yang tidak difahami sepenuhnya.
Rusia mengambil kesempatan terhadap situasi kewangan sukar dan kekurangan pemahaman undang-undang warga asing ini, terutamanya mereka yang mempunyai status tidak sah atau overstay di negara tersebut.
Rusia jelas mengeksploitasi keadaan terdesak warga asing ini yang umumnya tidak memahami undang-undang dan berada dalam situasi kewangan yang sukar.
Dalam banyak kes, mereka berada di Rusia secara haram atau melebihi tempoh visa, dan tekanan untuk mendapatkan status sah mendorong mereka menandatangani kontrak ketenteraan.
Laporan lain turut mendedahkan bahawa Rusia memaksa sesetengah pelajar asing dan pekerja migran untuk menyertai tentera dengan ugutan visa mereka tidak akan disambung jika menolak.
Ini menunjukkan betapa Rusia sanggup menggunakan pelbagai taktik, termasuk paksaan, demi memenuhi keperluan tenteranya.