2016 sememangnya menjadi tahun yang bersejarah buat Samsung. Mereka berjaya mengecap kenangan manis untuk 9 bulan pertama berikutan penjualan Samsung Galaxy S7 yang tinggi sebelum segalanya bertukar menjadi pahit. Samsung Galaxy Note 7 disahkan bermasalah dan ‘Tragedi Oktober’ Samsung bermula setelah lebih banyak unit daripada Samsung meletup.

Dalam pada itu, insiden yang melanda tidak menghalang syarikat ini untuk menerima keuntungan yang besar dimana Samsung telah berjaya mengutip lebih $7.2 billion (~RM31.96 billion) pada suku keempat 2016. Lebih mengejutkan, kutipan yang diterima ini merupakan keuntungan tertinggi sepanjang 3 tahun terakhir beroperasi. Sesuatu yang tidak dijangka daripada syarikat yang berpangkalan di Korea ini.

Dikatakan penjualan ruang storan dalam telefon dan skrin OLED antara yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan syarikat ini. Penggunaan memori V-Nand dan skrin OLED yang diguna pakai hampir majoriti pengeluar TV ketika ini berjaya membuatkan Samsung berjaya bangkit semula.

Selain itu, pengeluaran warna terbaru pada Samsung Galaxy S7 juga nyata tidak mengecewakan Samsung. Peminatnya masih ada meskipun terpalit dengan insiden yang tidak diingini.

Penyumbang terbesar samsung bagi industri smartphone

Samsung ternyata bijak memahami kehendak pelanggan apabila lebih banyak mengeluarkan telefon mid-range atau kategori rendah sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Dalam erti kata lain, majoriti pengguna di beberapa negara lebih selesa untuk mendapatkan smartphone Samsung yang mempunyai tanda harga yang lebih rendah.

Belajar dengan kesilapan lalu, Samsung dikatakan tidak mahu terburu-buru untuk mengeluarkan Samsung Galaxy S8 dan Note 8 pada tahun ini. Kami menjangkakan Samsung akan lebih banyak memfokuskan kepada pemasaran kedua-dua flagship mereka pada tahu ini untuk mengembalikan kepercayaan pelanggan semula.