Nota Editor: Kami amat teruja untuk membaca penulisan dan menemubual Puan Masita Rose Ibrahim yang berbakat dalam seni menghias dan dekorasi rumah. Siapa sangka seorang wanita boleh membuat panel kayu wainscoting atau wall moulding sendiri secara DIY. Kami amat seronok berbual-bual dengan beliau, dan mengetahui keterujaan beliau dalam mencantikkan rumah.
Wainscoting atau wall moulding atau lebih dikenali sebagai panel kayu di Malaysia merupakan suatu perkara yang biasa di luar negara tetapi masih belum digunakan secara meluas di Malaysia. Panel kayu ini kelihatan amat kemas dan cantik apabila digandingkan dengan cat atau kertas dinding. Panel kayu ini amat sesuai bagi mereka yang menyukai dekorasi gaya Inggeris, tetapi dengan daya kreatif, ia juga sesuai digunakan dalam rumah dengan tema moden.
Ikuti penulisan Puan Masita di bawah, semoga anda juga dapat melakukan wainscoting anda sendiri di rumah:
Ramai rupanya yang minat nak tahu tentang wainscoting. Saya terangkan cara mudah. Pertamanya, kita semua kena tahu serba sedikit bagaimana hendak buat. Google DIY wainscoting untuk dapatkan gambaran. Apabila rasa yakin, baru mula cari barang-barang.
Barang-barang yang diperlukan:
1. Kayu skirting
2. Chair rail
3. Rangka kayu atau frame (boleh pilih saiz dan design yang diminati di kedai hardware atau di kedai aksesori perabot) – tak banyak kedai hardware jual kayu-kayu molding ini, kena rajin cari.
4. Penembak paku (Nail gun)
5. Liquid nail
6. Jigsaw (untuk potong kayu 45°) – kena tepat 45°, kalau tidak, susah mahu cantumkan jadi kotak.
7. Gap sealant/ chaulking
8. Cat
BACA: 17 Chandelier Dan Lampu DIY Yang Dramatik Diperbuat Daripada Kayu
Langkah-langkah:
- Pertama, kena ukur mengikut saiz yang diinginkan. Pastikan jarak kotak sama.
- Kemudian, tampalkan kayu-kayu yang sudah siap dipotong mengikut ukuran kita. Untuk skirting dan chair rail, lebih baik gunakan paku. Untuk rangka kotak, liquid nail sudah memadai.
- Sekiranya ada jurang di antara kayu dan dinding, anda hanya perlu tutup menggunakan gap sealant dan ia akan jadi sempurna.
- Apabila semua kayu sudah siap ditampal, bolehlah cat semua kawasan. Done!
Soalan: Adakah mould ditampal terus ke dinding?
Ya, terus ke drywall.
Soalan: Apakah kos yang terlibat?
Kos untuk projek ini adalah seperti berikut:
- Kayu kayan untuk seluruh ruang tamu, meliputi 3 dinding dengan ukuran seperti berikut: (20 kaki x 3 kaki) + (10 kaki x 3 kaki) + (16 kaki x 3 kaki)
– hampir RM600+ (termasuk skirting, chair rail dan frame)
- Liquid nail – RM10
- Sealant / chaulking – RM10
- Penembak sealant – RM10+
- Penembak paku (Nail gun) dengan compressor – RM800+. – Untuk lebih murah, boleh juga gunakan drill, masukkan wall plug dan guna paku biasa, atau boleh pinjam dari kawan. Untuk projek ini, Puan Masita pinjam dari kawan.
Keseluruhan kos adalah hampir RM1000, meliputi barangan di atas, serta barangan-barangan lain seperti cat, paku, kertas pasir, wood putty dan lain-lain.
Soalan: Berapa lama jangkamasa projek ini?
Satu dinding boleh siap dalam satu hari sahaja, dengan syarat kayu sudah sedia dipotong mengikut ukuran dan 45°. Proses pasang sehari suntuk. Maknanya kayu kayan sudah siap dipotong awal-awal.
Terima kasih kami ucapkan kepada Puan Masita Rose kerana sudi meluangkan masa untuk temubual ini.