Dalam dunia perniagaan yang kompetitif, pelbagai cara unik digunakan untuk menarik perhatian pelanggan. Namun, tindakan pemilik sebuah restoran mi segera di Kampung Jawa, Melaka, telah melampaui batas kebiasaan apabila dia memilih untuk menggunakan alpaka, sejenis haiwan eksotik, sebagai daya tarikan utama.

Keputusan yang luar biasa ini akhirnya membawa padah apabila dia dikompaun sebanyak RM10,250 oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Bahana Guna Alpaka Tarik Pelanggan, Pemilik Restoran Didenda RM10,250
Sumber Gambar: Kosmo

Menurut Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, restoran itu diarahkan ditutup selama tujuh hari.

Pemeriksaan mendapati pemiliknya tidak hanya menempatkan alpaka yang didakwa tertekan dan murung, tetapi juga 22 haiwan lain seperti kambing, itik, angsa, arnab dan kucing di premis tersebut sejak Jun lalu dipetik dari Kosmo.

Restoran itu dikenakan kompaun RM10,250 kerana melanggar beberapa undang-undang, termasuk Enakmen Hiburan dan Undang-undang Kecil Petempatan Makanan.

Selain itu, notis penutupan selama tujuh hari dikeluarkan bagi membolehkan pemilik membersihkan premis dan memindahkan semua haiwan yang ditempatkan di dalam restoran tersebut.

“Dalam lesen MBMB jelas dinyatakan haiwan peliharaan tidak boleh diletakkan di dalam restoran. Walaupun alpaka dipamerkan secara berasingan, ia tetap dilarang,” katanya ketika mengetuai operasi pemeriksaan, hari ini.

Walaupun restoran itu hanya mendapat lesen perniagaan makanan pada April lalu, ia mula beroperasi seperti zoo mini dua bulan kemudian.

Menurut Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, satu pertemuan akan diadakan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri dalam masa terdekat untuk membincangkan isu ini.