Seorang wanita di selatan Thailand, baru-baru ini mengalami detik cemas apabila kepalanya terhantuk di tiang yang mahu bergambar di pintu tren.

Memetik Harian Metro, video yang tular di media sosial memperlihatkan seorang wanita itu berada di pintu gerabak. Dia memegang pada besi pemegang dan mengeluarkan badannya di luar gerabak dan badannya menghadap bahagian dalam tren tersebut.

Selepas beberapa detik, kepalanya terkena tiang di landasan selepas tren mula bergerak. Wanita itu kemudian kelihatan hilang imbangan tetapi masih berpaut pada besi pemegang.

Dalam satu lagi video, wanita itu dilihat membongkok di luar kereta api yang sedang bergerak dan kemudian, jatuh ke landasan.

State Railway of Thailand (SRT) menerusi hantaran di Facebook pada 13 Ogos lalu memaklumkan kejadian itu pada 3.15 petang, 5 Ogos 2024.

Difahamkan pada waktu kejadian sebuah kereta api meninggalkan stesen Ban Ton Don di Phattalung, dan menujuke Nakhon Si Thammarat.

Wilayah Phatthalung di selatan Thailand terletak kira-kira 850 kilometer (km) dari bandar ini.

Tambah SRT, kereta api itu bergerak pada kelajuan rendah ketika kejadian kerana ia baru berlepas dari stesen sebelumnya.

Wanita itu mengalami bengkak di kepala ekoran insiden berkenaan dan dibawa ke Hospital Phatthalung. Hasil ujian X-ray menunjukkan wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dan dia dibenarkan pulang.

Sebagai tindak balas, SRT memaklumkan bakal meningkatkan pemeriksaan keselamatan dengan lebih meluas dan memberi amaran kepada penumpang yang gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.