Datin Seri Umie Aida berdepan denda daripada Biosekuriti New Zealand sejurus tiba di Lapangan Terbang Auckland, semata-mata kerana sebiji epal yang terlupa diisytiharkan dalam begnya.

Memetik laporan Harian Metro, pelakon tersohor tempatan itu mendedahkan dirinya telah dikenakan denda sebanyak NDZ400(kira-kira RM1,024) selepas epal yang dibawa dalam beg, dikesan alat imbasan oleh pegawai Imigresen.

Bahana ‘Terbawa’ Sebiji Epal, Umie Aida Didenda Lebih RM1,000 Di New Zealand
Sumber Gambar: nztraveltips

Sebagai makluman, New Zealand mempunyai peraturan tidak membenarkan sebarang makanan segar dibawa masuk tanpa diisytiharkan, ini bagi memelihara ekosistem dan industri pertanian negara itu.

Mengulas kejadian yang berlaku, Umie Aida mengakui kesilapan dirinya dan menganggap pengalaman tersebut sebagai takdir yang tidak disangka-sangka.

“Saya tidak bawa makanan ke New Zealand kerana ingin memudahkan urusan Imigresen. Tetapi, ketika berada di lounge MAS Airlines, saya ambil sebiji epal dengan niat hendak makan dalam penerbangan kerana terlalu letih.

“Namun, saya tertidur dan terlupa mengenai epal itu. Apabila sampai di New Zealand, mereka imbas beg dan terus kenakan denda,” katanya menerusi perkongsian video di Threads.

Umie Aida difahamkan berada di New Zealand sejak 1 Julai lalu. Beliau ke sana bagi menjalani penggambaran sebuah drama bersiri. Drama ini turut menampilkan Nora Danish, Datuk Remy Ishak, dan Fattah Amin.

Insiden lucu ini menjadi bahan gurauan rakan-rakan pelakon, yang mengusik Umie kononnya epal dari Malaysia itu “terlalu eksklusif” sehingga berharga RM1,000 sebiji.

Bagaimanapun, Umie kekal tenang dan tidak melatah, malah menerima insiden itu dengan hati terbuka sebagai pengajaran.