Dalam pembentangan Bajet 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Malaysia mengumumkan untuk memperkenalkan cukai baru ke atas pendapatan dividen individu yang bakal dilaksanakan pada tahun taksiran 2025.
Melalui inisiatif ini, pemegang saham individu yang menerima dividen melebihi RM100,000 setahun akan dikenakan cukai sebanyak 2 peratus.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai dan memastikan keadilan dalam pengumpulan hasil negara.
Usaha ini diambil sebagai langkah untuk mengimbangi kutipan cukai yang selama ini lebih banyak disumbangkan oleh penerima gaji.
Selain daripada golongan ini, cukai dividen juga akan melibatkan pemilik syarikat dan individu yang memiliki saham bernilai jutaan ringgit.
Kerajaan ingin memastikan bahawa golongan yang berpendapatan lebih tinggi turut menyumbang secara saksama kepada hasil negara.
Namun, terdapat pengecualian dalam pelaksanaan cukai ini.
Kerajaan bercadang untuk mengecualikan pendapatan dividen yang diperoleh daripada simpanan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), amanah saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB), serta pendapatan dividen dari luar negara.
Langkah ini diambil untuk melindungi simpanan rakyat serta menggalakkan pelaburan luar negara.