Sepasang pengantin baharu mencuri perhatian warganet apabila menggunakan barangan keperluan sebagai hantaran kahwin mereka.
“Saya tidak anggap idea menyediakan hantaran perkahwinan berupa barangan keperluan asas ini ‘gila’, sebaliknya ia memudahkan dan sebagai simbolik kepada minat saya suka memasak,” kata Siti Masnida Abdul Malek.
Baca Juga:
- Netizen Terkesima Lihat Dekorasi Hantaran Kahwin Bernilai RM50,000 Di Sabah
- Samakan Kerja ‘Photographer’ Dengan Bangladesh, Pengantin Cari Jurugambar Dengan Upah RM100
- ‘Lain Dijemput, Lain Yang Datang’ – Pengantin Kesal Makanan Tidak Mencukupi Kerana Tetamu Tidak Diundang
Beliau dan suaminya, Mohd Yusri Md Yunus, disatukan pada 31 Disember lalu berbalas dulang hantaran berupa barangan dapur seperti cili, gula, garam, ikan sardin, minyak masak, bawang, halia, telur, rempah ratus dan pes perencah tomyam.
Memetik Harian Metro, pemilihan barangan itu merupakan idea Siti Masnida dan mendapat sokongan keluarga selain mengakui semua barangan disediakan dengan bajet di bawah RM100 bagi satu pihak.
Difahamkan pada mulanya suami mahu memberikan barangan hantaran seperti minyak wangi, beg tangan, jam dan kasut, namun ia bukan menjadi keutamaannya kerana dia sudah memiliki semua barangan itu.
“Hantaran kahwin itu dibuat bukan kerana kami tiada kemampuan, tetapi saya mahu sesuatu yang berbeza mengikut kemahuan. Saya bukan seorang suka memakai banyak barang, dan saya suka memasak jadi sebab itu pilih barangan dapur.
“Idea itu datang seminggu sebelum majlis dan kami beli barang pihak lelaki membabitkan kos RM85 untuk lima dulang hantaran manakala saya tujuh dulang dengan kos bawah RM50 saja kerana ada sebahagian barang seperti bawang diambil di rumah saja,” katanya.
Siti Masnida berkata, kelebihan memilih barangan itu bukan saja memuaskan hatinya, malah ia juga menjimatkan kos, sekali gus memberi wang tambahan untuk mereka berbulan madu di Sabah tidak lama lagi.