Isu harga baju-baju dari jenama lokal yang dikatakan melambung tinggi berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen Malaysia.
Perkara ini dibangkitkan oleh netizen di laman media sosial Threads, pelbagai pandangan dan penjelasan dilontarkan, termasuk daripada individu-individu yang berpengalaman dalam industri pakaian tempatan.
Jadi, apakah punca sebenar di sebalik harga yang dikatakan ‘melangit’ ini?
Salah satu faktor utama yang dibangkitkan adalah kos produksi.
Menurut beberapa peniaga dan mereka yang berpengalaman dalam industri pakaian, Malaysia sangat bergantung pada bahan mentah yang diimport dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
Bahan-bahan ini berkualiti tinggi, namun kos untuk membawa masuk bahan-bahan tersebut lebih tinggi berbanding negara pengeluar itu sendiri.
Contohnya, bahan kain dan benang yang digunakan untuk menghasilkan baju tempatan selalunya tidak dihasilkan di Malaysia, berbanding negara seperti Indonesia yang memiliki kemudahan pengeluar.
“Plus mereka pengeluar. I mean dari segi material benang, kain, sulam dan all. Diorang lebih di situ.” kata seorang netizen.
Jika dibandingkan, pasaran pakaian di Indonesia jauh lebih besar daripada Malaysia.
Negara dengan populasi lebih 240 juta penduduk memberi kelebihan kepada pengeluar pakaian di sana.
Dengan permintaan yang tinggi, kos pengeluaran menjadi lebih rendah, sekali gus membolehkan harga jualan dipasarkan dengan lebih murah.
Seperti yang dijelaskan oleh seorang lagi netizen, “Rakyat Indo 240 juta…rakyat Malaysia 40 juta…bila ada high volume, once dorang order banyak, kos akan lebih murah.”
Ini berbeza dengan Malaysia yang hanya mempunyai 40 juta penduduk, menyebabkan kuantiti pengeluaran lebih kecil dan kos lebih tinggi.
Pengguna Malaysia juga sering membuat perbandingan antara harga produk tempatan dengan jenama luar seperti Uniqlo dan H&M.
Ada yang rasa baju tempatan sepatutnya dijual pada harga yang lebih rendah kerana dianggap “lokal”.
Namun, hakikatnya jenama besar seperti Uniqlo dan H&M mempunyai kelebihan dari segi produksi secara besar-besaran (mass production) yang membolehkan mereka menjual pada harga lebih rendah.
Mereka juga mempunyai rangkaian pemasaran yang kuat dan boleh tembus ke pasaran global dengan lebih mudah.
Bagi netizen pula, mereka berharap agar jenama tempatan lebih telus dalam menentukan harga dan memberikan produk yang berkualiti setanding dengan harga yang ditawarkan.
Salah seorang netizen berkata, “Kalau lokal tu kualiti helok takpe ni nipis senipis bawang, boom RM300-RM500.”