Skuad Harimau Malaya mungkin akan menghadapi satu sahaja perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 November depan apabila gagal mendapatkan pasukan kebangsaan negara lain untuk aksi persahabatan kedua.

Setakat ini, Harimau Malaya dijadualkan menentang India pada 19 November ini dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) cuba mengatur satu lagi perlawanan menentang pasukan sekitar asia selatan.

Baca Juga:

Namun, empat negara telah menolak pelawaan tersebut iaitu Bangladesh, Maldives, Afghanistan dan Nepal.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Bangladesh (BFF), Imran Hossain Tushar menjelaskan mereka terpaksa menolak aksi menentang Malaysia untuk menjimatkan kos perbelanjaan pasukan.

Oleh sebab itu, mereka memilih untuk menentang Maldives dua kali kerana jarak perjalanan yang lebih dekat.

“Malaysia dan Thailand telah menyatakan minat untuk mengaturkan satu perlawanan tetapi Maldives setuju untuk dua perlawanan.

“Jumlah perlawanan dan kos perbelanjaan secara keseluruhan menjadi keutamaan untuk menjadikan urusan lebih mudah,” kata Tushar dipetik dalam portal footboom.

Antara lawan dari Asia Selatan yang berpotensi bertemu Harimau Malaya ialah Bhutan, Sri Lanka atau Pakistan. Walaupun ranking rendah namun pasukan ini masih perlukan perlawanan sepanjang tempoh kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ini juga adalah salah satu persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027 kerana Harimau Malaya berpotensi jumpa Bhutan, Sri Lanka atau Pakistan yang diletakkan dalam balang 4 undian.

Perlu diingatkan, hanya juara kumpulan dalam saingan kelayakan sahaja akan mendapat tiket automatik beraksi di Piala Asia 2027.