Peluang skuad Harimau Malaya untuk berada dalam balang 1 undian Kelayakan Piala Asia 2027 semakin sukar selepas tewas 0-4 kepada pasukan di ranking ke-95 dunia, New Zealand pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1.

Kekalahan ini menyaksikan skuad bimbingan Pau Marti Vicente pulang ‘tangan kosong’ selepas gagal meraih sebarang mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk bulan Oktober.

Baca Juga:

Aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 merupakan โ€˜talian hayatโ€™ย  skuad negara untuk memperbaiki kedudukan ranking demi memburu tempat dalam balang 1 Kelayakan Piala Asia 2027.

Bagaimanapun, peluang untuk memintas pesaing terdekat, India sangat tipis selepas negara itu berjaya mengutip mata ranking FIFA hasil keputusan seri 1-1 menentang Vietnam.

Berdasarkan kedudukan tidak rasmi ranking FIFA, ketika ini Malaysia dan India hanya dipisahkan 19.87 mata. India berjaya memperolehi tambahan mata sekaligus berpeluang naik satu anak tangga.

Ia bermakna Harimau Malaya akan berada dalam balang 2 undian Kelayakan Piala Asia 2027 selepas kehilangan 3.72 mata sekaligus mengumpul 1,113.92 mata ranking FIFA berdasarkan pengiraan tidak rasmi.

Jumlah mata tersebut agak jauh, dengan Malaysia perlu memintas India yang kini mengumpul 1,133.79 mata untuk melompat dari balang 2 ke balang 1. Namun, ianya mustahil untuk direalisasikan.

Balang 1 ketika ini dibarisi oleh pasukan yang kuat seperti Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam dan Lubnan.

Skuad negara mempunyai tiga peluang perlawanan persahabatan untuk memperbaiki ranking sebelum undian kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada 19 Disember ini.

Berada dalam balang 2 bermakna Malaysia perlu melakukan persiapan awal bagi menghadapi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia itu kerana saingan akan menjadi lebih mencabar.

Perlu diingatkan, hanya juara kumpulan dalam saingan kelayakan sahaja akan mendapat tiket automatik beraksi di Piala Asia 2027.