Bekas penjaga gol yang pernah beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid iaitu Diego Altube dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Penjaga gol berusia 24 tahun ini dilepaskan oleh kelabnya yang beraksi di saingan La Liga 2 iaitu Albacete setelah kontraknya tamat pada 1 Julai 2024 lalu.

Baca Juga:

Menurut perkongsian Future Talents di laman Instagram, pemain yang mempunyai ketinggian lebih 6 kaki ini memiliki pertalian dengan Malaysia menerusi ibunya.

Diego Altube Suárez mempunyai pertalian dengan Malaysia melalui ibunya. Dia sudah mendapat pasport Malaysia. Altube kini menjadi ejen bebas selepas meninggalkan Albacete awal Julai ini dan difahamkan akan menyertai kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim sekaligus membolehkannya bermain untuk pasukan kebangsaan Malaysia tidak lama lagi,” dipetik dari Future Talents.

Altube pernah beraksi bersama akademi Real Madrid dari tahun 2016 hingga 2019 selepas berhijrah dari Real Valladolid. Pada musim 2021/22, beliau dipinjamkan ke Fuenlabrada dan kemudiannya dijual ke Albacete.

Sepanjang bergelar pemain skuad Los Blancos, Altube banyak beraksi dengan skuad pembangunan namun belum pernah beraksi bersama skuad utama ekoran persaingan ketat yang melibatkan Thibaut Courtois dan Andriy Lunin.

Sekiranya semua berjalan lancar, maka beliau akan memberikan saingan ketat kepada Syihan Hazmi yang menjadi penjaga gol utama pasukan kebangsaan sejak 2022.