Pemain bintang Perancis, Kylian Mbappe bakal beraksi dengan juara Eropah 15 kali iaitu Real Madrid pada musim hadapan dimana beliau sah menyertai pasukan itu.
Baru-baru ini, pihak kelab mengumumkan ketibaan Mbappe menerusi laman media sosial rasmi pasukan sekaligus menamatkan teka-teki mengenai masa depan pemain itu selepas meninggalkan Paris Saint-Germain.
“Real Madrid dan Kylian Mbappé telah mencapai persetujuan dimana beliau akan bergelar pemain kelab ini untuk lima musim yang akan datang,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.
Mbappe pula gembira dapat menyertai kelab terbaik di dunia itu dimana beliau menyifatkan perpindahan ke Real seperti mimpi menjadi kenyataan.
Menurut laporan ESPN, pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak bernilai €15 Juta setahun selepas cukai dimana kontrak ini sudah dibincangkan sejak Februari lalu.
Kehadiran bekas kapten PSG ini bakal memperkuatkan lagi Real khususnya di bahagian serangan dimana mereka sudah mempunyai pemain seperti Vinicius Junior, Rodrygo dan Jude Bellingham.
Baru-baru ini, kelab bimbingan Carlo Ancelotti itu memenangi gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ke-15 selepas menewaskan Borussia Dortmund dengan keputusan 2-0 pada aksi final musim ini di Stadium Wembley.
Pada 2017, selepas menyinar bersama AS Monaco, Mbappe mempunyai pilihan untuk menyertai Real namun beliau memutuskan untuk beraksi bersama PSG bersama seorang lagi pemain bintang iaitu Neymar.
Ketika itu, PSG bersetuju untuk mendapatkan Mbappe dimana mereka mencipta rekod dunia untuk seorang pemain remaja bernilai €180 juta ($195.4m).
Beliau kemudiannya menjadi kapten PSG dan muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa dengan 255 gol, memenangi enam kejuaraan Ligue 1 dalam tujuh musim.
Mbappe akan diperkenalkan secara rasmi selepas beliau menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan Perancis dalam temasya UEFA Euro 2024.