Bangunan ikonik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing di sini, yang telah kosong sejak beberapa tahun, bakal mendapat nafas baharu tidak lama lagi.

Memetik laporan New Straits Times, bangunan tersebut akan diubah menjadi kemudahan penjagaan warga emas dalam beberapa tahun akan datang.

Baca Juga:

Projek itu diusahakan oleh Pacific Senior Living Sdn Bhd (PSL).

Syarikat itu adalah sebahagian daripada Kumpulan Pengurusan Columbia Pacific, pelabur global, pemaju dan pengendali penjagaan kesihatan moden dan kemudahan kehidupan warga emas.

Malini Selva, pengurus komunikasi pemasaran PSL, berkata syarikat itu telah memajak bangunan KWSP dengan rancangan untuk menjadikannya kemudahan penjagaan warga emas.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan butiran lanjut mengenai projek baharu di bangunan lama KWSP itu.

“Kami akan mengumumkan butiran pelan itu sebaik sahaja ia dimuktamadkan,” kata Malini.

Syarikat itu kini mengendalikan Acacia, satu kediaman warga emas yang menawarkan pelbagai kemudahan khusus, seperti perkhidmatan fisioterapi dan bengkel hob yang memenuhi minat serta keperluan penduduk yang pelbagai.

“Kami baru di Malaysia dan kami menawarkan konsep baharu dalam penjagaan warga emas. Kami tidak seperti rumah jagaan biasa kerana kami menawarkan kehidupan seperti resort untuk warga emas,” kata Malini.

Beliau berkata Acacia, yang terletak di bekas bangunan Hotel Merrida di Klang, bukan satu-satunya kemudahan syarikat itu di Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada pertumbuhan strategik kami, kami sememangnya sedang mempertimbangkan rancangan pengembangan bagi menjangkakan permintaan yang semakin meningkat berikutan unjuran peningkatan dalam populasi yang semakin tua di Malaysia,” kata Malini.

Lokasi lain yang sedang diterokai oleh PSL termasuklah Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.