Masalah banjir kilat bukanlah sesuatu yang baru di negara kita dan sering dilaporkan berlaku terutamanya di kawasan-kawasan sekitar ibu kota. Walaupun hanya berlaku untuk tempoh jangka masa pendek dan tidak berlarutan namun ianya tetap menimbulkan masalah dan keresahan kepada orang ramai.
Jika berlaku di jalan raya dan kawasan awam pun sudah cukup untuk mengakibatkan kesukaran seperti kesesakan lalu lintas dan ada ketikanya sehingga ke tahap penutupan jalan, bayangkan pula bagaimana jika ia melanda rumah atau kediaman anda yang didiami bersama keluarga.
Lebih teruk, ianya bukan banjir atau bah yang hanya datang sekali setahun tetapi berlaku beberapa kali setiap tahun (atau lebih tepat lagi) setiap kali dilanda hujan lebat seperti yang dialami sebahagian penduduk di Kampung Datok Keramat, Kuala Lumpur ini.
Perkara itu baru-baru ini dikongsikan Siti Maryam Ahmad Nuri, 27 tahun yang memuat naik beberapa hantaran video di Twitter sambil meluahkan kekecewaannya mengenai masalah banjir kilat yang berterusan melanda rumah keluarganya itu.
“Dalam lorong ini ada enam rumah keseluruhannya. Semalam (16 November) punya banjir boleh dikira paling teruk dan hampir semua rumah dalam lorong tu terkesan.
“Tetapi jika hujan yang lebat dan lama tetapi tidak terlalu teruk, tiga rumah termasuk rumah kami confirm masuk air,” jelasnya ketika dihubungi The Vocket.
Dah tak tahu nak report kat siapa dah. Marah dah, cakap elok elok dah. Kesian my family, kena duduk rumah kosong sebab tak tentu banjir bila. We’ve been facing this banjir issue for YEARSSS.@DBKL2u pic.twitter.com/oaSRhYfe8I
— MN (@mrymnuri) November 17, 2020
Tambah mengecewakan, masalah berkenaan menurutnya seperti tiada berpenghujung walaupun aduan telah dibuat kepada pihak berwajib oleh bapanya pada November tahun lalu.
Salinan laporan berkenaan yang menceritakan dengan terperinci mengenai masalah itu juga turut dikongsikan beliau di dalam untaian yang dibuatnya di Twitter baru-baru ini.
“Untuk memberikan perspektif, ini adalah surat bapa saya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertarikh 17 November 2019.
“Selepas itu, mereka menolak kes berkenaan kepada @DBKL2u dan kemudiannya saya tidak tahu apa berlaku selepas itu,” jelasnya.
Rayu selesaikan masalah
Jelasnya walaupun pelbagai usaha dan cara telah dilakukan mereka termasuk berjumpa dengan ahli politik namun sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian yang diberikan pihak berwajib terhadap masalah yang dialami mereka.
Beliau pada masa sama menegaskan luahan dan aduan yang dibuatnya di media sosial itu bukanlah untuk mencetuskan kontroversi namun menjelaskan hanya berharap agar bantuan sewajarnya diberikan untuk menyelasaikan masalah yang dialami mereka sejak sekian lama itu.
This happened recently – 4/11/2020 at 3am. 3AM. I wasnt there and this video is from my sister in law and that’s my dad😢 please @DBKL2u @AnnuarMusa do something. We really need you to fix this instead of giving us bantuan like food supply or even money. Just fix this please. pic.twitter.com/Fz6racI2X0
— MN (@mrymnuri) November 17, 2020
“Kami hanya mahukan pihak terlibat ambil tindakan bukannya sekadar memberikan bantuan jangka masa pendek seperti bantuan makanan dan sumbangan duit.
“Kami percaya ramai lagi masyarakat di luar sana yang lebih memerlukan bantuan seperti itu,” luahnya.
Mengulas lanjut mengenai kejadian banjir kilat yang sering melanda kawasan rumah mereka itu, Siti Maryam berkata mereka sebelum ini sudah beberapa kali mengalami kerugian harta benda.
Malah rumah yang didiami keluarganya termasuk ibunya yang berstatus OKU itu juga terpaksa diubahsuai untuk mengurangkan kesan daripada banjir kilat yang kerap kali melanda rumah mereka sebelum ini.
Baca juga perkongsian kami mengenai lelaki ini yang menjelaskan bagaimana stesen kereta api di Malaysia ‘tidak dibina’ untuk pejalan kaki melalui pautan di bawah.
Lelaki Ini Tunjukkan Bagaimana Stesen Kereta Api Di Malaysia ‘Sukar Untuk Diakses’ Pejalan Kaki
Netizen Puji Usaha Pemuda Ini Bantu Selesaikan Masalah Banjir Di Kuala Lumpur
Sesuai Dengan Nama, Tonton Aksi Kelisa Ini Redah Banjir Dengan Tenang Di Kuala Lumpur