Malaysia mungkin terpaksa bersiap sedia untuk menghadapi tahun 2025 yang sedikit mencabar, selepas Bank Dunia dalam laporan Global Economic Prospects terbarunya memberi amaran bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka lebih perlahan daripada jangkaan awal, lapor Bernama.
Menurut laporan itu, ramalan pertumbuhan KDNK Malaysia untuk tahun 2025 telah disemak semula kepada 3.9 peratus, satu penurunan sebanyak 0.6 peratusan berbanding ramalan pada Januari lalu.
Bank Dunia menjelaskan bahawa penurunan ini disebabkan oleh ketidaktentuan kesan makroekonomi akibat halangan perdagangan global yang semakin meningkat, yang kini ‘goyah’ bukan sahaja untuk Malaysia, tetapi juga untuk beberapa negara jiran di rantau Asia Timur dan Pasifik.
Walaupun Malaysia mendapat suntikan positif daripada dasar fiskal seperti perbelanjaan sosial dan pelaburan awam, kesannya mungkin tidak cukup kuat untuk menampan cabaran global yang sedang melanda.
Tambahan pula, proses pengetatan fiskal secara sederhana dijangka akan diteruskan—ini bermaksud kerajaan akan mula mengurangkan perbelanjaan untuk mengawal hutang, yang sedikit sebanyak boleh memperlahankan pertumbuhan.
Bukan Malaysia Sahaja Di Beri ‘Amaran’ Oleh Bank Dunia
Tetapi Malaysia tidak keseorangan. Negara seperti Filipina dan Vietnam juga menerima tamparan yang sama daripada Bank Dunia, masing-masing dengan semakan turun 0.8 mata peratusan kepada 5.3 peratus dan 5.8 peratus.
Thailand pula menyaksikan ramalan KDNK diturunkan sebanyak 1.1 mata peratusan kepada hanya 1.8 peratus, manakala Myanmar mengalami kejatuhan paling ketara, dengan ramalan negatif -2.5 peratus.
Apa yang menarik ialah, laporan tersebut turut menyebut bahawa aktiviti pembuatan di Malaysia menunjukkan tanda-tanda perlahan, terutamanya dalam indeks pesanan eksport baru dalam Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sejak November lalu.
Ini menunjukkan bahawa Malaysia sebagai negara yang sangat bergantung kepada sektor pembuatan berorientasikan eksport, sangat terdedah kepada ketegangan perdagangan global, kos perdagangan yang meningkat, serta kelembapan ekonomi kuasa besar.
Walaupun dunia dijangka hanya tumbuh 2.3 peratus pada 2025—kadar paling perlahan sejak 2008 jika tidak termasuk waktu-waktu krisis besar—Malaysia masih mencatatkan angka positif dan menunjukkan bahawa ekonomi kita masih berdaya tahan.