Kontroversi berhubung kelewatan urusan pengebumian Allahyarham Siti Adawiyah, 14, terus menjadi perhatian apabila bapanya, Mohd Hasrul Ghazali, tampil menafikan semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya, termasuk tuduhan menggunakan permit pengebumian palsu.

Isu Jenazah Lewat Kebumi Di Ukay Perdana: JAIS Nafi Salah Masjid, Dedah Ada Pemalsuan Dokumen

Dalam sidang media yang diadakan pada Ahad, Mohd Hasrul menegaskan beliau tidak pernah meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya sejak awal.

Sebaliknya, segala urusan pengurusan jenazah diserahkan kepada Badan Kebajikan Silaturahim (BKS), sebuah pertubuhan yang pernah menguruskan jenazah ahli keluarganya sebelum ini.

Menurut beliau, selepas jenazah dibenarkan keluar dari Hospital Ampang, proses memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah dilakukan di Surau An-Nur, Taman Cempaka sebelum dibawa ke Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam.

Namun, keadaan menjadi rumit apabila berlaku kekeliruan membabitkan permit pengebumian – katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hasrul mendakwa permit berwarna biru yang diminta untuk dibawa ke tanah perkuburan telah dipegang oleh seorang wanita yang juga ahli lembaga kariah masjid.

Beliau menjelaskan bahawa ketika tiba di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, beliau hanya membawa permit asal berwarna putih dan kuning yang diterimanya daripada pihak hospital.

“Jika benar saya menggunakan permit palsu, sila buktikan kepada saya,” katanya sambil menegaskan beliau menerima empat salinan permit daripada hospital iaitu merah, putih, kuning dan biru.

Salinan biru, menurutnya, telah diserahkan kepada pihak masjid, manakala salinan putih dan kuning masih berada dalam simpanannya.

Beliau turut menafikan dakwaan memalsukan tandatangan pada borang permohonan pengebumian serta mempersoalkan mengapa tiada pihak daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau pihak masjid menghubunginya bagi mendapatkan penjelasan sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.

Dalam masa sama, Mohd Hasrul menjelaskan isu caj pengurusan jenazah sebanyak RM1,400 juga ada salah faham.

Sebagai ahli BKS, beliau dimaklumkan bahawa pihak masjid akan mengeluarkan bil kepada waris terlebih dahulu sebelum tuntutan bayaran dibuat semula kepada BKS.

Datuk Allahyarham, Abd Majid Abdullah, yang turut hadir pada sidang media itu, turut menafikan dakwaan bahawa keluarga berkeras menolak bantuan pihak masjid.

Beliau mendakwa tiada wakil masjid hadir menawarkan bantuan ketika proses memandikan dan menguruskan jenazah dijalankan di surau.

Dalam kenyataan medianya, beliau sama sekali menafikan dakwaan orang ramai bahawa berlaku pemalsuan dokumen daripada pihak mereka. Dia meminta orang ramai tidak hanya mendengar kenyataan daripada sebelah pihak sahaja.