Kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona, akhirnya menyelesaikan bayaran hutang melibatkan tunggakan gaji sejak 2020, kepada beberapa bekas bintang utama mereka seperti Lionel Messi, Samuel Umtiti, Philippe Coutinho, serta bekas pengurus, Ronald Koeman.
Bayaran tunggakan gaji tersebut tersebut merupakan baki terakhir daripada perjanjian penangguhan gaji yang dicapai pada hujung tahun 2020 ketika kelab itu berdepan krisis kewangan akibat pandemik COVID-19.
Di mana pada ketika itu, pengurusan sementara Barcelona yang diketuai Carles Tusquets membuat keputusan drastik untuk menangguhkan bayaran gaji demi memastikan kelangsungan kewangan kelab.
Barcelona bergelut dengan hutang yang tinggi membuatkan mereka terpaksa berunding dengan semua pemain mereka untuk penangguhan atau pemotongan gaji.
Menurut laporan akhbar Sport, hutang tersebut melibatkan jumlah keseluruhan sekitar €121.7 juta dan dibayar secara ansuran dalam tempoh hampir lima tahun.
Tunggakan gaji Messi tertinggi
Antara yang menerima bayaran terakhir menjelang akhir Jun 2025 ialah Lionel Messi, yang dikatakan menerima ansuran terakhir sekitar €5.96 juta daripada jumlah tunggakan gaji keseluruhan bernilai €47.6 juta.

Messi sangat bertoleransi dengan Barcelona yang menjadi kelab yang dia palling sayangi.
Turut berada dalam senarai penerima ialah Samuel Umtiti (€9.9 juta), Philippe Coutinho, Sergio Busquets, Jordi Alba, Antoine Griezmann, Ousmane Dembélé, Miralem Pjanic, Sergi Roberto, serta beberapa bekas pemain dan staf kejurulatihan lain.
Ronald Koeman yang pernah menjadi pengurus Barca juga menerima bayaran tertunggak bernilai hampir €10 juta yang diselesaikan secara berperingkat sehingga Jun 2025.
Legenda kelab, Koeman sebelum ini bersetuju menangguhkan hampir separuh daripada pampasan pemecatannya demi membantu kelab.
Penstrukturan semula gaji dan pembayaran hutang ini adalah sebahagian daripada usaha pemulihan ekonomi kelab yang diterajui oleh presiden Joan Laporta.
Dengan hutang tunggaka gaji kini selesai, Barcelona dijangka boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan skuad dan pelaburan semula untuk musim-musim akan datang.
Seterusnya selepas mereka kembali beraksi di Nou Camp, mereka akan meraih pendapatan yang lebih tinggi daripada pakej hari perlawanan. Ianya penting dalam usaha Barca keluar daripada bebanan hutang mereka sejak bertahun lamanya.
Sebagai rekod, Barcelona pernah hampir muflis dengan beban hutang mencecah €1.3 biliion satu ketika dahulu.