Susulan hukuman penjara yang dijatuhkan kepada Dani Alves kerana kesalahan seksual, Barcelona turut melucutkan status bekas pemain tersebut sebagai legenda kelab.
Menyoroti sejarah 125 tahun kelab yang turut dikenali sebagai La Blaugrana itu, terdapat 102 pemain telah dinamakan sebagai legenda Barcelona.
Baca Juga:
- 5 Pemain Ternama Dunia Yang Pernah Dipenjara
- Bekas Bintang Barcelona Dijatuhkan Hukuman Penjara Kerana Merogol
- Video: Detik-Detik Penggunaan VAR Di Stadium Sultan Ibrahim
Bekas pemain di zaman kegemilangan era bola sepak moden Barcelona seperti Jordi Alba, Sergio Busquets dan Gerard Pique merupakan kumpulan baharu yang menyertai senarai legenda tersebut.
Perkembangan terkini mengenai penarikan balik gelaran legenda kelab itu disahkan media terkenal di Sepanyol, Marca.
“Barca telah mengambil tindakan simbolik ini sebaik sahaja hukuman bagi serangan seksual itu telah dimuktamadkan.”
Dani Alves yang menyertai Barcelona pada musim panas 2008/09 dari Sevilla telah mengecap pelbagai nikmat kejuaraan sepanjang sembilan musim bersama.
Beliau berjaya menjulang tiga gelaran Piala Dunia Kelab FIFA, tiga kali menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), enam kejuaraan La Liga dan juara Cop del rey empat kali.
Membuat 408 penampilan, Alves menjaringkan 22 gol dan mencipta 105 bantuan jaringan dalam semua pertandingan disertai Barcelona.
Satu pencapaian serta statistik yang sudah cukup untuk membolehkannya menjadi salah seorang daripada legenda Barcelona.
Namun, awan mendung menyinari kehidupannya pada ketika ini apabila beliau menerima hukuman penjara selama empat tahun setengah dan perlu membayar denda bernilai €150,000 kepada mangsanya.
Bagaimanapun, Dani Alves dalam persiapan membuat rayuan untuk kes tersebut dimana beliau amat yakin bahawa dirinya tidak bersalah.