Marcus Rashford telah melengkapkan perpindahannya secara pinjaman ke Barcelona dan sudah membuat penampilan sulung bersama kelab tersebut pada aksi persahabatan bertemu Vissel Kobe, Ahad lalu.
Tidak ramai pemain kelahiran England menyarung jersi kelab gergasi Catalan tersebut dimana pemain terakhir yang melakukannya adalah Marcus McGuane pada 2018.
Baca Juga:
- ‘Here We Go’, Marcus Rashford Sertai Barcelona

- Amorim Puji Rashford & Antony: ‘Ini Berita Baik Buat Manchester United’

- Marcus Rashford Sedia Tinggalkan Manchester United

Walaupun bukanlah nama popular, McGuane menyertai Barcelona selepas meninggalkan Arsenal pada musim 2017/18.

Walaupun didaftarkan bersama Barcelona B, beliau turut pernah membuat penampilan dengan skuad utama The Blaugrana ketika Supercopa de Catalunya.
Melihatkan kepada perkembangan terkini Rashford yang berjaya merealisasikan impian untuk ke Barcelona, McGuane tampil berkongsikan tips berguna buat rakannya itu.
Kini bersama Huddersfield Town pada usia 26 tahun, McGuane telah memberi amaran kepada Rashford mengenai perangkap yang perlu dielakkan sekiranya ingin berjaya di Nou Camp.
Barcelona Kelab Impian Marcus Rashford
“Di atas padang, saya pasti dia (Marcus Rashford) akan bermula dengan baik dan menunjukkan prestasi yang meyakinkan,” ujar McGuane menurut sumber laporan Goal.
“Dia merupakan pemain bertaraf tinggi dengan kualiti luar biasa serta banyak yang boleh disumbangkan kepada pasukannya. Jadi, saya yakin dia akan cemerlang.”

“Di luar padang pula, saya cadangkan agar dia benar-benar mendalami budaya tempatan dan menyertai komuniti baharunya.”
“Keluarga dan rakan-rakan akan memainkan peranan penting untuk memastikan dia cepat menyesuaikan diri dan menjadikan tempat itu sebagai rumah keduanya.”
“Apabila berada di negara asing, mempelajari bahasa baru dan menyesuaikan diri dengan budaya yang berbeza, dia memerlukan rangkaian sokongan yang kukuh,” tambah beliau lagi.