Bekas pengurus Man United dan Ajax, Erik Ten Hag sekali lagi dipecat. Cuma kali ini lebih malang apabila dia baru sahaja mengendalikan pasukan itu dalam 2 perlawanan liga.

Menurut Fabrizio Romano, Lembaga Pengarah kelab tidak percayakan kemampuan Erik Ten Hag selepas beberapa keputusan tidak memuaskan pada pra musim dan beberapa aksi awal Bundesliga.

Selain itu, pengurusan tertinggi tidak gembira dengan sikap Ten Hag dalam berhubung dengan mereka.

Erik Ten Hag sebelum ini pernah secara terbuka mengkritik kelab yang berterusan melepaskan pemain mereka. Terbaru Piero Pincapie yang dilepaskan ke Arsenal.

Ten Hag meluah di akaun media sosial “Keputusan pihak pengurusan Bayer Leverkusen pagi ini untuk meletakkan saya dalam cuti tanpa kerja datang sebagai satu kejutan besar.

“Berpisah dengan seorang jurulatih selepas hanya dua perlawanan liga adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Musim panas ini, ramai pemain utama yang pernah menjadi sebahagian daripada kejayaan lalu telah meninggalkan skuad.

“Membina sebuah pasukan baharu yang kukuh adalah satu proses berhati-hati yang memerlukan masa dan kepercayaan.

“Seorang jurulatih baharu sepatutnya diberi ruang untuk melaksanakan visinya, menetapkan piawaian, membentuk pasukan dan meninggalkan identitinya dalam corak permainan.

“Saya memulakan tugas ini dengan penuh keyakinan dan tenaga, namun malangnya pihak pengurusan tidak bersedia memberikan saya masa dan kepercayaan yang saya perlukan, sesuatu yang saya kesali.

“Saya merasakan hubungan ini tidak pernah berasaskan kepercayaan bersama.

“Sepanjang kerjaya saya, setiap musim yang saya lalui sebagai jurulatih telah dapat saya sempurnakan hingga ke penghujung dan membawa kejayaan. Kelab-kelab yang meletakkan kepercayaan kepada saya telah dibalas dengan kejayaan serta trofi.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Bayer Leverkusen atas kehangatan dan semangat mereka. Saya doakan skuad serta staf mencapai kejayaan untuk baki musim ini.”

Erik ten hag
Foto: X