Sebelum ini, pengguna iPhone 14 Pro Max tempatan sendiri berkongsi masalah white dot pada skrin peranti itu, Kini sudah timbul pula masalah skrin dengan garisan berkelip yang dilaporkan berlaku pada sesetengah pengguna iPhone 14 Pro Max di luar sana.
Menerusi satu hantaran di Reddit, beberapa pengguna iPhone 14 Pro Max melaporkan bahawa terdapat satu atau lebih garisan berwarna hijau dan kuning pada skrin. Garisan itu mungkin berkelip pada skrin sebelum hilang beberapa saat kemudian.
Baca Juga:
- Bekalan iPhone 14 Pro Semakin Stabil, Pengguna Boleh Dapatkan Dalam Tempoh Dua Minggu Sahaja
- Tonton Kualiti Rakaman 4K Yang Dihasilkan Menggunakan iPhone 14 Pro
Pengguna yang sama juga menyatakan pihak Apple memaklumkan kepada mereka bahawa isu itu bukan disebabkan oleh perkakasan. Sebaliknya, glitch atau masalah yang menjejaskan iPhone 14 Pro dan Pro Max itu adalah berkaitan dengan perisian iOS.
Menurut pengguna di Reddit dan forum Apple Support, isu berkenaan mula dikesan setelah kemas kini iOS 16.2 dilakukan walaupun sebahagian daripadanya telah melaporkan masalah skrin ini berlaku pada versi iOS sebelumnya.
Setakat ini, masih belum diketahui sama ada masalah skrin tersebut hanya melibatkan model iPhone 14 Pro dengan panel skrin yang dibekalkan oleh pengeluar atau pun sebaliknya. Buat masa ini, Apple dilaporkan dalam usaha untuk menyediakan tampalan perisian bagi mengatasi isu tersebut.