Seorang wanita mengalami kecederaan di kepala dan memerlukan lima jahitan dihempap sebuah basikal yang dibuang dari tingkat 12 dari bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran.

Insiden itu berlaku sekitar jam 4 petang, ketika Azuraini Yazid, 43 tahun, seorang pembantu TABIKA Kemas di Pasir Panjang, sedang dalam perjalanan untuk membuang sampah, lapor Berita Harian.

Baca Juga:

Menurut suami mangsa, Jusri Ibrahim, 48, isterinya tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri dengan kecederaan berdarah di kepala akibat dihempap basikal yang dibuang itu.

Kemudian mangsa diberi rawatan kecemasan oleh pasukan perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Isteri dikejarkan ke unit kecemasan HSNZ menerima lima jahitan di kepala dan keadaannya stabil,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Tambahnya lagi, selepas bertemu dengan pemilik basikal, pemilik tersebut menyatakan bahawa basikal anaknya yang berada di luar rumah itu telah dibuang oleh individu yang tidak dikenali.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan sudah merakam percakapan seorang penghuni kediaman yang mengaku sebagai pemilik basikal terbabit

“Setakat ini siasatan masih dijalankan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah awal pagi ini,” katanya.

Sumber