Masalah parkir di kawasan Projek Perumahan Rakyat
(PPR) seperti tiada noktahnya. Ditambah dengan jumlah penduduk yang semakin padat menjadikan ruangan parkir menjadi terhad lebih-lebih lagi yang memilik lebih dari satu kenderaan.
Ini tidak kira lagi dengan sikap segelintir individu yang gemar ‘cop parking’ walaupun sedia maklum ia adalah hak milik awam. Hal ini sekaligus memaksa sebahagian individu untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan.


Seorang lelaki meluahkan kisah sedihnya apabila kereta miliknya dirosakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab gara-gara wujud masalah parkir berdekatan dengan sebuah PPR.
Selain gambar cermin sisi keretanya telah dipatahkan, dia turut memuat naik satu surat amaran yang disyaki daripada individu yang membuat khianat menerusi sehelai tisu.
“Lain kali jangan parking dekat sini kalau sayang kereta. Kalau orang lain tak parking. janganlah parking pandai-pandai park sini. Amaran pertama,” tulis di tisu itu.

Bercerita dengan lebih lanjut, lelaki itu mendedahkan dia menumpang di rumah kakaknya di sebuah PPR di Selangor selepas emaknya meninggal dan meletakkan keretanya di tepi simpang dek kerana ketiadaan parkir lagi.
“Saya bukanlah orang kaya, hanya pakai kereta buruk Kancil. Menumpang rumah kakak selepas kematian mak saya dua minggu lalu.
“Jadi, saya orang baharu di situ. Malam tadi puas saya mencari parking dan terpaksa saya masuk parking di tepi simpang tiga.
“Cermin sisi saya lipat dan brek tangan saya turunkan sekiranya saya mengganggu lalu lintas, kereta saya boleh tolak ke depan,” kongsinya.

Berdasarkan perkongsian yang dibuat, lelaki itu berkata dia telah membiarkan kereta Kancil miliknya di tepi simpang dan keluar bekerja dipercayai menggunakan pengangkutan lain sebagai alternatif.
“Pagi tadi saya sebelum masuk kerja, saya nak alihkan kereta tapi parking masih lagi penuh dan saya terus masuk kerja.
“Tadi pukul 10 malam, saya turun (dari rumah) dengan niat nak alih kereta. Tengok-tengok keadaan kereta dah macam ni. Kalau saya salah, mungkin boleh bertolak ansur dengan cara lain seperti beritahu di grup WhatsApp PPR.
“Dalam grup WhatsApp PPR tu ada kakak, abang ipar dan jiran kampung saya. Apa patut saya buat? Kereta ini saya gunakan untuk ulang-alik bawa mak ke hospital sampai dia pergi (meninggal),” luahnya dengan nada kesal.
Timbul sedikit persoalan sama ada cara parkirnya yang mungkin menghalang laluan, namun dia mendedahkan telah memastikan terdapat ruang lagi untuk kereta melalui jalan tersebut.
“Sebelum saya tinggalkan kereta saya, memang masih ada ruang lagi kalau kereta nak membelok. Mungkin sebab saya pakai Kancil buruk, terus patahkan tanpa beritahu dalam grup WhatsApp,” jawabnya di ruangan komen.
Susulan perkongsiannya tular di media sosial, rata-rata netizen menyifatkan kejadian yang menimpa terhadap pemuda itu adalah satu perbuatan khianat dan berbaur ugutan. Mereka juga meminta pemuda itu untuk membuat laporan demi keselamatan peribadi.


Namun, ada yang berpendapat ini merupakan sebuah pengajaran yang mahal buat pemuda tersebut dek kerana kesalahan sendiri barang kali. Ada yang turut berpesan kepada pemuda itu supaya meninggalkan nombor telefon agar boleh dihubungi jika menghalang laluan.