Batik Air terus memperluas rangkaian penerbangannya ke peringkat antarabangsa dengan membuka dua laluan baharu ke Indonesia iaitu menghubungkan Subang dengan Bali serta Pulau Pinang dengan Batam.

Langkah ini sekali gus mengukuhkan kehadiran syarikat penerbangan berkenaan di beberapa pintu masuk utama Malaysia, selain memenuhi permintaan perjalanan yang terus meningkat antara Malaysia dan Indonesia.

Perkembangan itu hadir ketika hubungan perjalanan antara kedua-dua negara terus mencatat pertumbuhan kukuh.

Laluan Baharu Batik Air Ke Indonesia

Malaysia menerima 4.3 juta pelawat dari Indonesia sepanjang 2025, meningkat 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menjadikan Indonesia antara pasaran pelawat antarabangsa utama Malaysia.

Pada masa sama, Malaysia kekal sebagai antara sumber utama pelawat antarabangsa ke Indonesia, khususnya bagi destinasi seperti Batam dan Bali.

Selain perjalanan untuk tujuan percutian dan perniagaan, Malaysia juga terus menjadi pilihan rakyat Indonesia yang mendapatkan perkhidmatan kesihatan, dengan kemudahan perubatan serta perkhidmatan pakar yang tersedia di negara ini turut menyumbang kepada permintaan perjalanan antara kedua-dua negara.

Peningkatan hubungan udara ini akan memberikan akses yang lebih mudah kepada rakyat Indonesia yang berkunjung ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan, menjalani pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan berkaitan.

Bermula 20 Oktober 2026, penerbangan baharu Subang–Bali akan menghubungkan secara terus Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) dengan Bali.

Ia memberikan pilihan yang lebih mudah kepada pelancong dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya untuk ke destinasi popular di Indonesia itu.

Bali merekodkan 6.95 juta ketibaan pelancong antarabangsa secara terus pada 2025, meningkat 9.72 peratus berbanding 2024. Pertumbuhan kukuh itu menunjukkan Bali kekal sebagai antara destinasi percutian utama di rantau ini.

Bagi Batik Air, laluan baharu itu turut memperluas rangkaian penerbangan antarabangsanya dari Subang, sekali gus memberikan penumpang di Lembah Klang pilihan penerbangan terus ke Bali tanpa perlu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Penerbangan Subang–Bali akan beroperasi empat kali seminggu, melengkapi penerbangan sedia ada Batik Air dari KLIA yang kini beroperasi 35 kali seminggu.

Sementara itu, laluan baharu Pulau Pinang–Batam yang akan bermula pada 18 Oktober 2026 pula mengukuhkan hubungan udara syarikat penerbangan itu dari utara Malaysia ke Kepulauan Riau.

Batam merekodkan 738,186 ketibaan pelawat antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama 2025, dengan Malaysia menyumbang 188,713 kunjungan dan menjadi pasaran sumber kedua terbesar dalam tempoh berkenaan.

Penerbangan terus itu akan memberikan kemudahan kepada pelancong dari Pulau Pinang dan kawasan utara Malaysia untuk ke Batam, selain menyokong perjalanan bagi tujuan percutian dan perniagaan antara kedua-dua pasaran.

Laluan Pulau Pinang–Batam akan beroperasi tiga kali seminggu, melengkapi penerbangan sedia ada Batik Air dari KLIA yang beroperasi tujuh kali seminggu.