Bayer Leverkusen agak kecewa dengan Manchester United yang dianggap menyukarkan usaha mereka mendapatkan Alejandro Garnacho.

Garnacho disenaraikan oleh Manchester United untuk dijual. Ini selepas tindakan pemain itu mengkritik Ruben Amorim pada akhir musim lalu.

Ruben Amorim
Sumber Gambar: Reuters

Ketika itu Garnacho tidak berpuas hati kerana tidak bermula sebagai kesebelasan utama dalam final UEL. Sedangkan dia bermain setiap minit untuk United dalam kejohanan itu, dan menjadi pemain penting yang membantu mereka ke final.

Ruben Amorim segera membalas kritikan Garnacho dengan mengungkit kesilapan pemain itu yang gagal menyempurnakan peluang terbuka dalam aksi separuh akhir. Yang meletakkan kelab dalam risiko tersingkir di peringkat separuh akhir.

Alejandro Garnacho Kecam Amorim Secara Terbuka, Ancam Mahu Tinggalkan United, Amorim Balas Ungkit Kesilapannya

Erik Ten Hag yang pernah menjadi pengurus kepada Garnacho ketika di United, berminat untuk mendapatkan pemain tersebut.

Terutama sekali ketika kelab sedang mempersiapkan diri untuk kehilangan Florian Wirtz selepas mereka menjual Jeremie Frimpong.

Selain daripada Garnacho, nama Antony juga mulai dikaitkan dengan Bayer Leverkusen. Ini selepas kelab itu juga sedia mempertimbangkan untuk membida pemain Brazil itu yang kembali cemerlang ketika tempoh pinjaman di Sepanyol separuh kedua musim lalu.

Bayer Leverkusen terkejut harga Garnacho

Alejandro Garnacho tetap menjadi keutamaan oleh Ten Hag. Pemain itu juga menikmati bola sepak terbaiknya ketika di bawah Ten Hag.

Bayer Leverkusen ten hag mahukan garnacho

Malangnya, Leverkusen agak kecewa dengan harga yang diletakkan Man United iaitu £70 juta untuk pemain itu. Keadaan itu membuatkan Leverkusen bergelut secara kewangan untuk membelinya.

Sedangkan Leverkusen awalnya menjangkakan harga pemain itu akan jauh lebih rendah daripada itu memandangkan dia dalam senarai untuk dijual.

Pada Januari lalu, Man United dilaporkan menolak bidaan £40 juta yang dibuat oleh Napoli untuk mendapatkan Garnacho.

Jika Manchester United tidak mahu mengurangkan tanda harga tersebut, maka Ten Hag harus memikirkan pilihan lain untuk dibawa masuk ke kelab tersebut.

Apa yang pasti Ten Hag sudah diberikan jaminan bahawa kelab akan menyokongnya dalam pembelian pemain. Terutama sekali jika kelab berjaya menjual Florian Wirtz dengan nilai £130 juta.

Sebagai tambahan, Garnacho turut menarik perhatian 3 lagi kelab EPL ketika ini, menurut Fabrizio Romano. Pemain itu dikatakan lebih memilih untuk terus kekal di England jika boleh.