Bayer Leverkusen berjaya mengakhiri dominasi Bayern Munich selama sebelas musim terakhir sekaligus memenangi saingan Bundesliga musim 2023/24.

Kejayaan itu diraih selepas mereka menewaskan Werder Bremen dalam aksi liga dengan keputusan 5-0 dan mengesahkan kejuaraan dengan baki lima perlawanan untuk dihadapi.

Baca Juga:

Kelab bimbingan Xabi Alonso itu memegang rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan musim ini setelah memecahkan rekod yang dicipta oleh Bayern sebanyak 32 perlawanan tanpa kekalahan dalam semua pertandingan pada Februari. Leverkusen kini belum kalah 43 dalam semua pertandingan.

Dalam aksi pagi tadi, Victor Boniface, Granit Xhaka dan Florian Wirtz yang mencipta hatrik menjadi wira bagi Leverkusen yang mana jaringan mereka memusnahkan mimpi Bayern untuk meraih gelaran ke-12 secara berturut-turut.

Bayern dan satu lagi kelab iaitu VfB Stuttgart menghuni tangga kedua dan ketiga dimana dua pasukan ini berada 16 mata di belakang Leverkusen.

Kejayaan ini merupakan transformasi yang luar biasa untuk Leverkusen sejak Alonso mengambil alih sebagai jurulatih pada Oktober 2022. Kelab itu berada di tangga kedua terbawah pada masa itu selepas lapan pusingan musim lalu, dengan bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu akhirnya membawa mereka ke tempat keenam.

Momentum itu diteruskan ke musim ini, dengan pembelian Boniface, Xhaka, Jonas Hofmann dan Alejandro Grimaldo semuanya menyesuaikan diri dengan kelab yang berpangkalan di Rhineland itu dengan mudah dan memainkan peranan penting ketika mereka memenangi kejuaraan.

Kejayaan ini memastikan Bayer Leverkusen terlepas daripada sumpahan ‘Neverkusen’ yang membelenggu mereka sebagai naib juara abadi Jerman. Mereka telah menduduki tempat kedua dalam liga sebanyak lima kali, tiga kali lebih banyak daripada pasukan lain di negara ini yang tidak memenangi kejuaraan sehingga musim ini, dan kali terakhir memenangi trofi pada 1993.