Seorang bayi berusia setahun dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam air banjir di rumahnya pagi semalam.
Menurut laporan Buletin TV3, kejadian itu berlaku ketika keluarga mangsa berlindung daripada banjir di tingkat atas rumah dua tingkat.
Baca Juga:
- Rakyat Malaysia Berjemaah Kecam Idea Jadikan Banjir Kelantan Produk Pelancongan
- Kelantan Cadang Bina Terowong Untuk Atasi ‘Banjir Termenung’
- Penduduk Di Kelantan Terpaksa Masak Air Banjir Kerana Tiada Bekalan Air Bersih
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan perkembangan itu dan menjelaskan kehilangan bayi tersebut hanya disedari ibunya selepas bangun daripada tidur dan mendapati anaknya tiada di sebelah.
“Selepas itu ibu mangsa menjumpai bayi berkenaan lemas di tingkat bawah rumah berkenaan.
“Ini yang saya tekankan supaya terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) supaya tidak berdepan risiko sehingga membahayakan nyawa ahli keluarga.
“Disebabkan kecuaian ibu bapa, bayi berusia setahun jadi mangsa,” katanya.
Bayi berusia setahun jadi mangsa korban banjir ketiga di Kelantan https://t.co/eB4jo9dyFb
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 30, 2024
Kelantan masih kekal negeri paling teruk dilanda banjir kali ini dengan sebanyak 285 PPS diaktifkan untuk menempatkan 86,733 orang daripada 26,806 keluarga yang terjejas di 10 daerah.
Media tempatan melaporkan jumlah mangsa banjir di sembilan negeri terus meningkat 132,554 orang daripada 38,874 keluarga yang ditempatkan di 712 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor yang mana ia membabitkan 39 daerah.