Kerajaan negeri Kelantan merancang untuk jadikan musim tengkujuh yang kerap mengakibatkan banjir setiap tahun sebagai produk pelancongan menurut laporan Astro Awani.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Kamarudin Md Noor yang berpendapat cadangan itu adalah langkah mempromosikan kegiatan seperti luncur air dan makanan tradisi musim tengkujuh untuk menarik kehadiran pelancong.

Baca Juga:

Inisiatif ini dikatakan dapat membantu peniaga menjana pendapatan ketika banjir melanda.

“Rugilah orang nak jual pada musim ini tapi nak buat macam mana.

“Maka itu, kita cuba untuk mempromosikan musim tengkujuh sebagai musim untuk menarik pelancong untuk melawat.

“Tapi kena ada acara. Setelah dirancang, antara aktiviti yang bakal dilakukan adalah luncur ombak pada pertengahan bulan Disember.

“Lagi satu adalah kita akan mempromosikan makanan tradisional musim tengkujuh,” katanya dalam Astro Awani.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dikecam hebat oleh pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai ‘bodoh’ dan tidak sensitif untuk menjadikan musibah sebagai produk pelancongan.

Seorang pengguna X, @ZacZakirin13 mengingatkan banyak nyawa yang telah terkorban setiap kali banjir melanda.

“Tak sensitif langsung, setiap tahun banjir, mesti kita akan terbaca (kisah) insan tidak berdosa meninggal dunia akibat banjir,” katanya.

“(Exco) ini boleh terfikir nak buat aktiviti pelancongan (ketika musim tengkujuh). Memang ‘out of touch’!”

Seorang lagi pengguna X, @XavierNaxa berkata, sebagai rakyat Kelantan, beliau ‘malu dengan pemikiran sebegini’.

“Kami rakyat Kelantan sedang berdepan musibah besar, peliknya mereka seolah-olah mahu meraikannya

“Kalau bodoh boleh gilap jadi berlian, rasanya mereka dah boleh jadi jutawan,” katanya.

Media tempatan melaporkan keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dan jumlah mangsa semakin meningkat.