Hubungan dua hala antara Indonesia dan Singapura baru-baru ini mencuri perhatian warga maya apabila isu kedaulatan data dan infrastruktur digital menjadi medan perdebatan hangat.

Isu ini mula tercetus susulan perkongsian bekas ahli Parlimen Singapura, Calvin Cheng, yang membangkitkan persoalan tentang sejauh mana Indonesia sebenarnya bergantung kepada infrastruktur internet Singapura.

Namun, sindiran itu tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Pihak Jakarta tampil memberikan gambaran sebenar mengenai realiti geografi dan ekosistem internet serantau yang hakikatnya saling memerlukan antara satu sama lain.

Provokasi Satu Patah Perkataan Yang Mengundang Reaksi

Kisah ini bermula apabila Calvin memuat naik satu infografik di platform X bertajuk Indonesia’s Internet Dependence on Singapore.

Menerusi hantaran tersebut, beliau mendakwa sekitar 90 peratus trafik internet antarabangsa Indonesia perlu melalui Singapura terlebih dahulu.

Infografik itu memaparkan Singapura sebagai pintu masuk utama yang memegang peranan penting buat sambungan internet global Indonesia, merangkumi pusat data, perkhidmatan pengkomputeran awan, hinggalah ke jaringan kabel dasar laut.

Tidak cukup dengan data tersebut, Calvin meninggalkan satu kapsyen ringkas tetapi cukup mencetuskan provokasi:

“Potong?” soalnya ringkas di hantaran berkenaan.

Walaupun pertanyaan itu pantas tular dan mengundang pelbagai reaksi, Calvin kemudian tampil meredakan keadaan dengan menjelaskan bahawa Singapura sama sekali tidak berniat untuk mengambil tindakan sedemikian.

“Kami masyarakat bertamadun yang mematuhi undang-undang. Sudah tentu kami tidak akan berbuat demikian,” jelas beliau bagi menepis spekulasi liar.

Realiti Kabel Dasar Laut Di Perairan Indonesia

Menjawab dakwaan berkenaan, Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Hafid, tidak menunggu lama untuk meleraikan salah faham tersebut.

Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, beliau menegaskan bahawa naratif kebergantungan satu pihak adalah tidak tepat kerana realiti fizikal rangkaian internet dunia jauh lebih kompleks.

Meutya mengingatkan bahawa Sistem Komunikasi Kabel Laut (SKKL) yang menghubungkan Singapura ke seluruh pelosok dunia tidak wujud secara magis di udara, sebaliknya sebahagian besar laluannya perlu merentasi kawasan perairan Indonesia.

“Kita tidak perlu berasa marah. SKKL yang mendarat di Singapura bukan muncul secara tiba-tiba. Sebahagian besar laluannya melalui perairan Indonesia,” ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa jika berlaku sebarang gangguan atau tindakan sengaja memotong kabel di kawasan perairan tersebut, kesan buruknya bukan hanya dirasai oleh rakyat Indonesia, malah Singapura sendiri bakal berdepan padah yang sangat besar.

“Jika terputus atau sengaja dipotong, 80 peratus kapasiti sambungan internet Singapura juga berisiko lumpuh,” tambah Meutya secara terus-terang mengenai risiko timbal balik itu.

Kuasa Pasaran 267 Juta Jiwa

Selain faktor fizikal laluan dasar laut, Meutya turut menyentuh aspek ekonomi digital yang menjadi nadi kekuatan Indonesia. Beliau menegaskan bahawa kemeriahan industri teknologi dan pusat data di Singapura hari ini banyak didorong oleh kehadiran pasaran pengguna dari negara-negara jiran, khususnya Indonesia.

Dengan populasi yang dianggarkan 47 kali ganda lebih besar berbanding Singapura, Indonesia kini memiliki kira-kira 267 juta pengguna yang aktif melayari internet. Angka ini merupakan faktor kritikal mengapa syarikat teknologi gergasi dunia sanggup melabur modal yang besar di rantau ini.

“Tanpa angka ini, pelabur syarikat teknologi global berpotensi meninggalkan Singapura,” tegas beliau, mengingatkan bahawa pelabur menubuhkan hab serantau di Singapura kerana ingin mendekati pasaran gergasi di sekelilingnya.

Infrastruktur Digital Milik Bersama Rantau

Bagi Meutya, perbahasan mengenai siapa bergantung kepada siapa adalah satu sudut pandang yang sempit. Dalam dunia yang saling terhubung hari ini, kestabilan sambungan global bergantung kepada kerjasama erat dan sikap saling menghormati antara negara jiran.

“Kita tidak boleh berfikiran sempit. Infrastruktur digital ialah sektor yang perlu dijaga bersama, bukan hanya untuk kepentingan kedua-dua negara tetapi juga sambungan global,” jelasnya menutup hujah.

Pertikaman lidah ini hadir pada waktu yang agak sensitif dalam hubungan diplomasi ekonomi kedua-dua negara.

Sebelum isu ini meletus, hubungan Jakarta dan Singapura sudah pun menjadi tumpuan susulan keputusan kerajaan Indonesia untuk mengurangkan eksport gas asli ke Singapura bagi mengutamakan keperluan dan bekalan domestik mereka sendiri.

Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa dalam arena geopolitik moden, sempadan bukan lagi sekadar melibatkan daratan dan lautan, tetapi turut melibatkan lebuh raya data yang menghubungkan kehidupan jutaan manusia setiap hari.

Sumber