Seorang bekas akauntan GISB Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM3.89 juta.

Memetik Berita Harian, Hamimah Yakub, 73, membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Baca Juga:

Tertuduh didakwa menerima RM3,618,527.86 hasil aktiviti haram melalui lima transaksi antaranya daripada akaun bank peribadi, akaun bank milik sebuah pasar raya dan sebuah syarikat.

Dia juga turut didakwa memindahkan RM271,863.62 hasil aktiviti haram dengan empat transaksi antaranya ke akaun milik GISB Mart Sdn Bhd, akaun peribadi dan akaun bank milik GISBH.

Semua kesalahan itu dilakukan di cawangan bank di sekitar Selangor dan Kedah antara 5 Januari 2020 hingga 29 Januari 2021.

Memetik laporan itu lagi, pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Mohd Marzuki, menawarkan jaminan RM1 juta bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan Hamimah perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke Bukit Aman sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin memohon mahkamah mempertimbang wang jaminan yang minimum iaitu RM5,000 atau mengguna pakai jaminan sedia ada yang telah dikenakan terhadap anak guamnya yang turut menghadapi kes di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan jaminan sementara RM5,000 bagi mengelak tertuduh ditahan, memandangkan jumlah yang tinggi akan menyukarkan proses pendokumentasian sekali gus menyebabkan tertuduh ditahan.

Sumber