Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM2.12 juta.

Muhammad Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di antara 2 Februari 2024 dan 7 November tahun lalu, di hadapan Hakim Azura Alwi, petik Berita Harian.

“Faham (pertuduhan) puan, saya mohon dibicarakan,” katanya.

Didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dua buah bank di tiga lokasi beebeza iaitu di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara di sini, antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.

Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, isteri ketiga kepada Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar, 27, bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang juga pengawal sebuah syarikat didakwa menerima wang hasil aktiviti haram iaitu RM50,000; RM7,000 dan masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights di sini, antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025, petik Harian Metro.

Bagi keempat-empat kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.