Siapa yang tidak kenal dengan usahawan ternama Elon Musk, si genius yang kini merupakan manusia terkaya di dunia? Bagi yang meminati individu ini, pasti tahu bahawa Tesla merupakan diantara syarikat di bawah naungannya.

Syarikat pembuat kenderaan paling berharga di dunia ini ditubuhkan pada tahun 2003 dan cukup dikenali dalam industri automotif kerana inovasi yang ditonjolkan.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Bagi yang tidak tahu, Tesla bukanlah seperti syarikat pembuat kereta yang lain di mana mereka menghasilkan kereta tradisional. Sebaliknya, syarikat ini menghasilkan variasi kereta dengan ciri-ciri yang unik dan secara tidak langsung telah meletakkan syarikat ini di satu taraf yang berlainan daripada pesaingnya.

Melihat kepada hasil idea dan inovasi yang dilahirkan oleh Elon Musk buat Tesla dan keunikan kereta yang dibuat pasti cukup untuk menarik minat orang ramai untuk bekerja dan menjadi sebahagian dari syarikat ini. Bagaimanapun, bekerja di syarikat ini bukanlah seindah yang disangka dan hal ini juga turut diakui oleh bekas pekerja syarikat tersebut.

104060375-1538677732633gettyimages-532422786
SUMBER: CNBC

Selain dari ideanya yang inovatif dan kenyataannya yang sering mengundang kontroversi, Elon Musk turut dikenali sebagai seorang yang sangat workaholic. Adakah sifat beliau ini mempengaruhi budaya kerja di syarikat tersebut dan secara tidak langsung menindas hak pekerjanya? Barangkali.

Bagi menjawab persoalan yang berada di minda, hari ini kami kongsikan 5 sisi gelap budaya kerja di syarikat ternama milik si genius ini.

1. Tempoh bekerja yang panjang

los angeles times
SUMBER: LOS ANGELES TIMES

Seperti yang sudah diperkatakan sebentar tadi, Elon Musk merupakan seorang yang sangat workaholic sehinggakan beliau seringkali dijumpai tertidur di pejabat oleh pekerjanya.

Di Tesla, tempoh kerja berlangsung di antara 12 hingga 16 jam dalam sehari dan hal ini berlangsung sepanjang minggu, terutama sekali ketika tarikh akhir pengeluaran hampir tiba.

Memetik wawancara yang dibuat oleh Business Insider bersama bekas pekerja syarikat tersebut, tempoh bekerja yang panjang itu sedikit sebanyak telah memberikan impak negatif kepada kehidupan mereka.

“Saya mempunyai dua anak kecil dan saya tidak berpeluang untuk melihat mereka membesar,” dedah seorang bekas pekerja syarikat itu.

Selain dari itu, ekoran tempoh kerja yang panjang, syarikat tersebut turut juga memberikan mereka minuman tenaga Red Bull secara percuma bagi mengelakkan pekerjanya daripada tertidur atau berasa penat.

Bagaimanapun pengambilan minuman bertenaga secara berlebihan serta dalam jangka masa yang lama, ditambah pula dengan ekspektasi majikan yang memaksa pekerja untuk bekerja lebih masa secara tidak langsung boleh memudaratkan kesihatan.

2. Gaji yang rendah

5b22d8121ae66252008b4e8c
SUMBER: BUSINESS INSIDER

Isu gaji merupakan isu yang sering dibangkitkan di Tesla. Melihat kepada tempoh kerja yang lama, pastinya orang ramai menjangkakan bahawa pekerjanya akan dibayar dengan gaji yang setimpal.

Bagaimanapun, bukan itu yang terjadi. Menurut sumber media, pada 2018 gaji untuk rata-rata pekerja syarikat itu direkodkan sebanyak $56,163 (~RM227,038.93) setahun. Gaji yang direkodkan itu termasuklah gaji pokok, bonus dan stok.

Jika dibandingkan dengan syarikat automotif yang lain, Tesla merekodkan kadar gaji yang rendah. Sebagai contoh, median gaji untuk pekerja di Ford adalah sekitar $64,316 (~RM259,997.43).

Melihat semula pada tempoh kerja yang tidak masuk akal serta berpotensi untuk memudaratkan kesihatan, adakah gaji yang diberikan itu berbaloi? Mungkin tidak pada kita tapi sesetengah pekerja syarikat itu pula mempunyai pendapat yang berbeza.

Difahamkan ramai dari pekerja Tesla mengatakan bahawa mereka tidak kisah dengan gaji yang diberikan kerana mereka bekerja kerana persekitaran syarikat yang mencabar dan bukannya untuk wang.

3. Berpotensi untuk dipecat tanpa amaran

5d6ed26c2e22af0c8f03d724
SUMBER: NG HAN GUAN

Tesla secara amnya memang mementingkan budaya kerja yang proaktif. Bagaimanapun, syarikat tersebut juga sangat terkenal kerana sering memecat pekerjanya tanpa sebarang amaran.

Seorang bekas pekerja syarikat tersebut mendedahkan bahawa beliau merasakan syarikat tersebut tidak kisah atau mengambil berat tentang pekerjanya. Difahamkan, sifat kerja keras bukanlah token yang boleh menyelamatkan anda dari dipecat.

“Apa yang paling teruk ialah anda boleh merasakan bahawa syarikat ini tidak mengambil berat tentang anda dan anda juga tidak penting di mata mereka,” jelas seorang bekas pekerja Tesla menerusi temubualnya bersama Business Insider.

4. Pekerja sering masuk hospital akibat stress

5ad4e8c0146e7127008b4ad1
SUMBER: TESLA

Ekoran tempoh kerja yang panjang dan kewajipan kerja lebih masa, ramai dari kalangan pekerja Tesla telah mengalami sawan, sakit dada dan sesak nafas ketika bekerja. Hal ini didedahkan sendiri oleh pekerja syarikat tersebut melalui perkongsiannya di blog yang ditulis sendiri oleh individu itu.

Selain dari itu, ada juga dari kalangan pekerja yang pernah pengsan dan terhentak kepala di lantai hingga mengalami luka. Kisah ini bukanlah sebuah khabar angin, tetapi sebuah kenyataan.

Pada tahun 2017 bahkan sejak tahun 2014, ambulans dilaporkan sering memasuki kilang Tesla untuk membawa pekerjanya yang cedera ke hospital. Menerusi laporan yang ditulis oleh The Guardian, Elon Musk yang merupakan CEO buat syarikat tersebut bagaimanapun menegaskan bahawa mereka bukanlah sebuah syarikat kapitalis yang tamak.

Namun begitu, lain pula yang didedahkan oleh para pekerjanya yang berkata bahawa beliau pernah melihat sendiri rakan sekerjanya pengsan dan cedera akibat kepenatan.

“Saya pernah lihat pekerja pengsan dan jatuh hingga luka tetapi kami tetap disuruh bekerja manakala mereka yang cedera pula dibiarkan di lantai sehingga ambulans tiba,” dedah Jonathan Galescu, seorang juruteknik di Tesla pada media The Guardian.

5. Tidak boleh membentuk atau menyertai kesatuan pekerja

FILES-US-MUSK-MARKET-INTERNET
SUMBER: NEW YORK POST

Untuk makluman, kesatuan pekerja adalah sebuah organisasi yang kuat dalam menuntut hak-hak pekerja. Bagaimanapun, hal ini tidak di praktikan di Tesla. Difahamkan, pekerjanya dilarang untuk membentuk mahupun bergabung dalam mana-mana kesatuan pekerja. Tetapi ini bukanlah dasar rasmi.

Seperti yang sudah diperkatakan, Elon Musk memang sering memberikan kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Dalam satu ciapan yang dibuat olehnya, beliau mendedahkan bahawa pekerja yang membentuk atau menyertai kesatuan pekerja akan kehilangan stoknya. Tulisnya, mengapa memilih untuk membayar yuran kesatuan dan melepaskan stok saham tanpa sebab?

Kontroversi yang berlaku ini pernah dilaporkan oleh Time,. Difahamkan, tindakan Tesla yang melarang pekerjanya menyertai kesatuan atau membuat kesatuan di California itu telah melanggar undang-undang pekerja Amerika Syarikat.

Melihat kontroversi serta budaya kerja yang diamalkan di syarikat naungan Elon Musk nyata membuatkan saya tertanya-tanya, adakah benar Elon Musk patut disamakan dengan Tony Stark dalam Avengers atau beliau sebenarnya seperti Lex Luthor, si penjahat genius dalam siri Superman?

Apa pun, perbandingan tersebut tidaklah mencerminkan sifat sebenar usahawan ternama itu, hanya budaya kerja di syarikatnya sahaja yang agak meragukan. Apa pula pendapat anda?

Baca juga perkongsian kami yang lain mengenai usahawan ini melalui pautan di bawah.

Apa Itu Clubhouse? Media Sosial Baru Yang Dipopularkan Oleh Elon Musk

Bagaimana Satu ‘Tweet’ Dari Elon Musk, Mampu Beri Untung Berbilion Dolar Kepada Syarikat Ini

Hanya Kerana ‘Tweet’ Elon Musk, Saham Tesla Jatuh RM60 Bilion