Pihak polis mengesahkan bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias yang maut pada malam adalah disebabkan kecederaan selepas ditetak dalam satu pergaduhan di Kangar, lapor Harian Metro.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, pihaknya ada menerima maklumat pada 11.13 malam yang berhubung pergaduhan di Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.

Baca Juga:
- Ini Pandangan Netizen Terhadap Bekas Pekerja Yang Tersakiti Oleh Kedai Runcit Ternama
- Pengasas Kini Jutawan, Bekas Pekerja Cerita Realiti Sebenar Kerja Di Kedai Runcit Ternama
- ‘Ustaz Dipaksa Cerai Tanpa Sebab’ – Nora Dakwa Bekas Suami Hanya Ikut Arahan
Mangsa dipercayai berada di rumah lelaki berusia 51 tahun di kawasan perumahan tersebut antara 9 hingga 10 malam.
“Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.
“Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.
“Mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.
Pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi di Kangar.
Menurut pihak polis lagi, telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu telah dirampas.
Hasil siasatan lanjut turut mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan (satu di bahagian tangan kanan, 3 di bahagian tangan kiri dan 7-8 di bahagian belakang badan) pada badan mangsa.
“Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk,” katanya.
Menurut laporan Harian Metro, siasatan awal mendapati mangsa pergi ke kawasan perumahan suspek dalam keadaan marah. Bagaimanapun suspek tidak berada di rumah ketika itu.
Semasa mangsa pulang, dia bertembung dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan. Kemudian berlaku pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.
Pihak polis difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sentiasa berurusan antara satu sama lain. Motif pergaduhan masih dalam siasatan.
Pada masa sama saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah manakala semakan kita mendapati suspek utama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.
Sementara suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dadah.
Suspek ketiga yang juga anak kepada suspek pertama pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah.