Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat peralatan perubatan dianugerahkan ganti rugi berjumlah RM23 juta selepas Mahkamah Tinggi mendapati beliau diperdaya untuk membiayai projek vaksin Sinovac yang tidak wujud semasa pandemik COVID-19.

Hakim Elaine Yap memerintahkan Halim Shah Harlem Shahnon Abdullah membayar jumlah tersebut kepada bekas Pengarah Urusan LKL International Bhd, Lim Kon Lian, selepas mendapati defendan bertanggungjawab atas salah nyataan secara fraud, petik New Straits Times.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh semalam, mahkamah mendapati Halim telah membentuk persona palsu sebagai seorang doktor perubatan serta individu bergelar kenamaan bagi meyakinkan plaintif mengenai kesahihan usaha niaga berkenaan.

Menurut Yap, Lim telah didorong untuk memindahkan dana berjumlah RM23 juta kepada Genesis Biopharma Sdn Bhd melalui representasi palsu berhubung kewujudan dan perkembangan projek tersebut.

“Plaintif dan menantunya telah diperdaya dan Halim bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami plaintif,” kata beliau dalam alasan penghakimannya.

Projek yang didakwa itu melibatkan aktiviti mengimport, mengedar serta menjual vaksin Sinovac di Malaysia, selain dakwaan bahawa ujian klinikal akan dijalankan dengan kerjasama Universiti Malaya (UM).

Lim telah memindahkan wang sebanyak RM10 juta kepada Genesis Biopharma dalam empat peringkat antara Oktober hingga Disember 2020 di bawah satu perjanjian langganan saham, selain memindahkan RM13 juta lagi pada 9 November 2020.

Walau bagaimanapun, syarikat berkenaan gagal menerbitkan saham keutamaan boleh tebus dan boleh tukar seperti yang dijanjikan dalam perjanjian tersebut. Susulan itu, Lim menamatkan perjanjian berkenaan pada 6 Mei 2021 dan menuntut pemulangan semula wang berjumlah RM10 juta.

Mahkamah mendapati bukti pertukaran mesej WhatsApp, perjanjian langganan saham serta rekod pemindahan wang menyokong kes Lim bahawa Halim telah membuat representasi berkaitan projek vaksin itu serta keperluan pembiayaannya.

Yap turut menolak cubaan Halim untuk menjauhkan dirinya daripada usaha niaga berkenaan selepas mendapati mesej-mesej defendan meletakkannya di barisan hadapan dalam dakwaan kerjasama dengan UM. Tambahnya, kewujudan dokumen, majlis menandatangani perjanjian serta sidang media telah memberikan gambaran seolah-olah projek tersebut mempunyai kredibiliti.

Memetik New Straits Times lagi, hakim mendapati ijazah perubatan yang didakwa diperoleh Halim dari Universiti Johns Hopkins adalah palsu. Walaupun beliau mempunyai pendaftaran penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), mahkamah diberitahu bahawa beliau tidak memiliki sijil amalan tahunan yang sah.

Mahkamah juga meneliti penggunaan gelaran ‘Dato’ Seri’ oleh Halim dan memutuskan bahawa beliau sengaja mencipta persona palsu melalui penipuan, tokok tambah serta kekaburan fakta.

Mahkamah seterusnya mendapati Genesis Biopharma tidak menjalankan sebarang fungsi bebas melainkan sekadar menjadi alat kepada Halim untuk melakukan penipuan, sekali gus menjadikan beliau bertanggungjawab secara peribadi atas kerugian yang ditanggung Lim.

Selain ganti rugi RM23 juta, Yap mengisytiharkan bahawa Halim memegang wang berkenaan atas dasar amanah konstruktif untuk Lim dan memerintahkannya mengemukakan akaun berhubung cara wang tersebut dibelanjakan.

Mahkamah turut membenarkan perintah pengesanan bagi mengenal pasti aset alih dan tidak alih yang diperoleh menggunakan wang berkenaan atau sebahagian daripadanya.

Faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh turut dibenarkan, berserta kos sebanyak RM100,000 tertakluk kepada fi alokatur.

Genesis Biopharma telah digulung pada 25 Jun 2024 dan perbicaraan diteruskan terhadap Halim seorang diri selepas Lim memperoleh penghakiman ingkar terhadap syarikat tersebut.

Dalam prosiding itu, Lim diwakili barisan peguam Alex Tan, Tan Su Ning, Cheah Kha Mun dan Chin Jia Yi, manakala Wee Choo Keong bertindak bagi pihak Halim.