Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah sebuah Range Rover Sport daripada pengarah sebuah syarikat subkontraktor, 10 tahun lalu.

Memetik Berita Harian, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Baca Juga:

Mengikut pertuduhan, Mohamad Ali sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa menerima satu suapan berupa sebuah kenderaan Range Rover Sport nombor pendaftaran MCR 2 daripada pengarah syarikat lain bergelar datuk.

Pemberian kereta mewah itu sebagai dorongan untuk menganugerahkan kepada syarikat terbabit kerja-kerja subkontraktor.

Projek itu adalah ‘mengekstrak, mengangkut dan memunggah pasir laut di kawasan simpanan ditetapkan berhubung kerja penambakan Pantai di Melaka’ yang dinilai pada kadar RM6.50 bagi setiap meter kubik pasir laut, bagi projek ‘Cadangan Menambak Laut Dan Semua Kerja Berkaitan seluas 89.03 hektar di Kota Laksamana’

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat terbabit di Taman Kota Syahbandar, dekat sini pada Jun 2015.

Mohamad Ali didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Sumber