Di sebalik operasi penguatkuasaan jalan raya, wujud satu sindiket yang licik menjual pelekat “perlindungan” kepada pengendali lori berat untuk mengelak denda dan pemeriksaan.

Dengan harga bermula daripada RM1,000 setiap pelekat, pemandu lori kini boleh membeli “imuniti” untuk memastikan perjalanan mereka lancar walaupun melanggar undang-undang.

Menurut laporan Utusan Malaysia dan NSTP, pelekat ini dilengkapi dengan kod unik dan reka bentuk khusus untuk memaklumkan kepada pegawai penguatkuasa yang korup bahawa lori tersebut telah “dibayar.”

Pelekat tersebut biasanya dipasang pada bahagian lori dan dijadikan “pasport” bagi mengelak pemeriksaan, walaupun lori tersebut membawa muatan berlebihan atau melakukan kesalahan lain.

Harga pelekat bergantung pada berat kenderaan dan kawasan operasi.

Untuk pengendali yang memiliki armada besar, pelekat ini boleh mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

Seorang wakil pemandu lori, yang enggan dikenali, mendedahkan bahawa sindiket ini dipercayai melibatkan orang dalam agensi penguatkuasaan.

“Sindiket ini boleh mendapat sehingga RM10,000 sebulan daripada seorang pengendali lori. Jika mereka ada 10 lori, itu bermakna RM100,000 sebulan. Bayangkan kalau ada 10 pengendali di satu kawasan, keuntungan mereka boleh mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Pelekat tersebut sering dihiasi simbol seperti burung helang dengan kod tertentu.

Apabila anggota sindiket atau pegawai penguatkuasa melihat pelekat ini, mereka tahu bahawa lori itu telah “membayar perlindungan.”

Namun, “perlindungan” ini tidak menyeluruh.

Jika lori beroperasi di luar kawasan pelekat asal, operator perlu berunding semula dengan sindiket kawasan tersebut.

“Sebagai contoh, jika pemandu biasanya beroperasi di Klang tetapi tiba-tiba masuk ke Petaling Jaya, pelekat itu tidak laku. Pengendali perlu bayar sindiket Petaling Jaya untuk mendapat imuniti di situ,” jelas wakil itu.

Perkhidmatan ini jauh lebih mahal daripada penggunaan tonto – pemberi maklumat haram yang memberi amaran tentang sekatan jalan raya.

Namun, pelekat ini lebih “efisien” kerana memberi imuniti total kepada lori berat.

“Ini dah berlaku bertahun-tahun. Selagi pelekat itu ada, lori boleh lepas sekatan jalan raya tanpa masalah, walaupun melanggar undang-undang,” tambahnya.

Setakat ini, perkhidmatan pelekat “perlindungan” hanya digunakan oleh lori berat seperti treler dan lori tipper.

Pengendali teksi dan kenderaan persendirian tidak terlibat dalam sindiket ini.