Di YouTube, pelbagai benda yang kita boleh pelajari secara tidak konvensional yang biasanya tidak ditapis kontennya. Ada yang positif dan ada juga yang negatif untuk diakses tanpa sebarang sekatan.

Memetik laporan China Press, sepasang suami isteri tempatan terpaksa menanggung akibat perbuatan mereka selepas kantoi menanam pokok ganja (marijuana/cannabis) di dalam unit kondominium mereka sendiri.

Pasangan itu kini berdepan dengan hukuman berat yang boleh menyaksikan mereka menghabiskan sisa hidup di dalam penjara (penjara seumur hidup) serta dikenakan hukuman sebatan.

Pasangan itu telah ditahan oleh pihak polis di unit kondominium yang disewa mereka di kawasan Bangsar pada sekitar jam 11.30 malam pada 6 November lalu.

Belajar Dari YouTube, Pasangan Kantoi Tanam Ganja 'DIY' Dalam Unit Kondominium
Sumber Gambar: Hotfm

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, mengesahkan penahanan pasangan itu.

Beliau menyatakan bahawa tangkapan tersebut dibuat susulan serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur semalam.

Polis menemui dua (2) pokok ganja yang disyaki serta 27 gram daun kering yang dipercayai ganja, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM1,210. Turut dirampas ialah dua (2) unit telefon bimbit dan beberapa barang kemas, termasuk tiga rantai leher, empat loket, dan dua cincin.

Salah seorang suspek kemudiannya membuat pengakuan kepada pihak polis bahawa dia mula menanam pokok ganja tersebut tujuh (7) minggu lalu setelah belajar cara menanamnya melalui tontonan video di YouTube.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sumber pokok ganja yang ditanam serta menentukan sama ada pasangan tersebut menanamnya untuk penggunaan peribadi atau untuk tujuan penjualan kepada penagih lain.

Suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan didapati positif dadah, manakala pasangannya tiada rekod jenayah.

Kedua-dua suspek kini telah direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 atas pertuduhan Seksyen 6B iaitu menanam tumbuhan terlarang dan Seksyen 15(1)(a), mengambil dadah berbahaya.