Belajar memandu di Malaysia bukanlah perkara yang mudah dan malah akan memberi tekanan lagi.

Berdasarkan laporan dari Zutobi, sebuah platform pendidikan pemandu, Malaysia berkongsi kedudukan dengan Greece sebagai negara kedua paling ‘stress’ di dunia untuk pemandu baru belajar memandu.

Sebaliknya, Singapura dicatatkan sebagai negara paling kurang tekanan bagi pemandu baru.

Dengan skor hanya 2.38 daripada 10, Malaysia berada sedikit di atas Poland (2.14) dan berkongsi tempat bersama dengan Greece.

Kenapa memandu di Malaysia boleh buat orang tertekan?

Malaysia mempunyai 85,000 kenderaan bagi setiap 100,000 orang, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang besar.

Jumlah kenderaan yang tinggi ini membuatkan pemanduan di jalan raya menjadi lebih mencabar, terutamanya bagi mereka yang baru belajar.

Selain itu, negara ini mencatat 23 kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 100,000 orang – salah satu kadar tertinggi di dunia.

Statistik ini menambahkan tekanan kepada pemandu baru yang perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati.

Mengenai kualiti jalan pula, berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia dalam Laporan Daya Saing Global 2020, kualiti jalan raya di Malaysia mendapat skor 5.3 daripada 10.

Belajar memandu di Malaysia bukan sekadar belajar kemahiran memandu, tetapi pelajar baharu juga perlu belajar untuk sabar.