Chelsea menepati ramalan dengan muncul juara UEFA Conference League 2024/25 selepas menundukkan wakil Sepanyol, Real Betis 4-1 pada aksi final yang berlangsung di Wrocław Stadium, Poland sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus memastikan Chelsea menjadi pasukan pertama yang menjuarai kesemua empat trofi utama di Eropah iaitu UEFA Champions League (UCL), UEFA Europa League (UEL), Cup Winners’ Cup dan UEFA Conference League

Chelsea bagaimanapun tersentak seawal minit kesembilan selepas percubaan Abde Ezzalzouli hasil satu serangan balas pantas hanya mampu dipandang penjaga gol, Filip Jorgensen untuk jaringan pembukaan oleh Real Betis.

Tiga minit kemudian giliran pemain pertahanan tengah, Marc Bartra pula menguji gawang Chelsea tetapi percubaannya diselamatkan Jorgensen.

Chelsea selepas itu cuba untuk mengatur gerakan dalam usaha mendapatkan jaringan tetapi ia tidak membuahkan hasil untuk kedudukan 1-0 memihak Betis itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Melihatkan kepada kelemahan barisan pemainnya, Enzo Maresca bertindak menggantikan Malo Gusto dengan Reece James pada minit ke-46 manakala Levi Colwill dan Jadon Sancho dimasukkan ketika aksi memasuki minit ke-61.

Langkah itu jelas mengubah corak permainan Chelsea yang menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi tandukan Enzo Fernandez selepas menerima umpanan Cole Palmer.

Palmer sekali lagi cemerlang apabila hantaran cantiknya memberikan ruang buat Nicolas Jackson melakukan kuisan menggunakan dada untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-70.

The Blues jelas tidak dapat dibendung dengan jaringan ketiga menerusi Sancho pada minit ke-83 dan Mouses Caicedo menambah derita Real Betis pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 4-1 buat Chelsea.