Chelsea baharu sahaja mengumumkan kehadiran prospek hangat dari Brazil yang beraksi di posisi sayap, Estevao Willian dengan yuran perpindahan bernilai £51 juta.

Nilai yang menjadikannya sebagai pemain remaja termahal dalam sejarah bola sepak di benua Amerika Selatan.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Goal, The Blues dan Willian memeterai kontrak selama tujuh tahun dan pemain tersebut akan menyertai pasukan sebaik sahaja memasuki usia 18 tahun.

Keadaan yang sama perlu dilalui oleh pemain muda yang sudah membuat penampilan antarabangsa bersama Ecuador iaitu Kendry Paez

Ini bermakna, Willian dan Paez akan mula bersama pasukan pada permulaan musim panas tahun hadapan.

Sejak tahun lalu, Chelsea dilihat amat tertarik untuk membawa masuk pemain-pemain muda dari Amerika Selatan terutamanya Brazil seperti Andrey Santos, Deivid Washington dan Angelo Gabriel.

Di sebalik kehadiran bakat-bakat menarik di Amerika Selatan itu, ia jelas merupakan cetusan idea pencari bakat khusus di benua tersebut yang direkrut Chelsea iaitu Alysson Marandez Marins.

Kredit Foto: Instagram Alysson Marins

Alysson merupakan bekas pemain import Perak yang beraksi dalam saingan Liga Super 2005.

Marins menyertai Perak selepas legenda Brazil, Zico memperkenalkan penyerang tersebut kepada pengendali pasukan pada ketika itu, Toni Netto.

Namun, kariernya cukup singkat di Ipoh apabila beliau hanya sempat beraksi satu perlawanan iaitu ketika menentang Pulau Pinang ekoran kecederaan dialaminya.

Selepas bersara, beliau memilih untuk menjadi pencari bakat dan memulakan tugasan di Corinthians pada 2013.

Dua tahun kemudian Marins dinaikkan pangkat sebagai ketua pencari bakat hingga direkrut Chelsea pada 1 Julai 2023.

Kehadiran beliau menyaksikan Chelsea pada ketika ini cukup berminat dengan bakat-bakat dari Amerika Selatan.

Selain daripada pemain yang sudah menjadi milik pasukan, Chelsea turut cuba memancing Endrick tetapi pemain muda itu lebih memilih Real Madrid.

Tidak hairanlah selepas ini semakin ramai bakat-bakat baharu di Brazil akan menjadi pilihan Chelsea.

 

Sumber