Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membatalkan sidang media yang dijadualkan berlangsung hari ini selepas menerima berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Perkara itu dikongsikan tunangnya, Bella Astillah, yang ketika itu sedang menjalani penggambaran bersama Syed Saddiq.
Menurut Bella, dia dapat melihat perubahan pada Syed Saddiq selepas lelaki itu menerima perkhabaran mengenai pemergian Tun Dr Siti Hasmah.
“Kami sedang menjalani penggambaran, tetapi saya tahu hati dan fikirannya berada di tempat lain selepas mendengar berita yang menyedihkan itu pagi ini.
“Dia tidak dapat meneruskan apa yang dirancang selepas itu dan meminta sidang media tersebut dibatalkan. Kami masih terkejut,” katanya menerusi satu hantaran.

Syed Saddiq kemudian berkongsi luahan hati di media sosial mengenai pertemuan terakhirnya bersama Tun Dr Siti Hasmah.
Menurutnya, pertemuan selama kira-kira dua jam itu langsung tidak terasa seperti perpisahan.
“Kalau saya tahu itu pertemuan terakhir kita, I would have wished for those two hours to last forever,” tulisnya.
Syed Saddiq mengimbas bagaimana Tun Dr Siti Hasmah ketawa dan bergurau bersama mereka selain berkongsi cerita serta memberikan nasihat mengenai perkahwinan, keluarga dan kehidupan.
Beliau menyifatkan Tun Dr Siti Hasmah sebagai seorang yang baik, lucu, penyayang dan penuh dengan kebijaksanaan hasil pengalaman hidup yang panjang.
Dan hari ini, Tun sudah tiada.
“Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya.
“I love you, Tun.
“More than the universe will ever know.
“Hati saya hancur. A part of me still refuses to believe that you are no longer here,” katanya.
Syed Saddiq bagaimanapun menerima pemergian itu sebagai ketentuan Allah dan mengingatkan bahawa setiap manusia datang daripada-Nya dan kepada-Nya juga akan kembali.
Beliau turut berterima kasih kepada Tun Dr Siti Hasmah kerana meninggalkan satu kenangan terakhir yang begitu indah bersama dirinya dan Bella.
Lebih menyentuh hati, Syed Saddiq berkata mereka tidak dapat memenuhi hasrat Allahyarhamah untuk hadir ke majlis perkahwinan mereka kelak.
Terima Kasih Tun Hasmah Beri Saya, Bella Nasihat Terakhir -Syed Saddiq #MGFlash
Pertemuan terakhir dengan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dua hari lalu, meninggalkan kesan mendalam kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. #malaysiagazette… pic.twitter.com/1QXJYNLIWV
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) September 28, 2026
Namun, beliau berjanji akan membawa segala nasihat yang diberikan Tun Dr Siti Hasmah ke dalam kehidupan rumah tangga mereka.
“Saddiq & Bella tak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti.
“But I promise you Tun your advice will.
“We will carry it into our marriage, into our home, and insya-Allah, for the rest of our lives.”
Tun Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pagi ini. Pemergiannya disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Syed Saddiq mengakhiri luahannya dengan doa agar Allah mengurniakan Tun Dr Siti Hasmah tempat tertinggi di syurga.
“Until we meet again, Tun.
“Al-Fatihah.”
