Juara bertahan, Jorge Martin mengalami mimpi ngeri dalam aksi sulungnya di MotoGP apabila pelumba Aprilia itu terlibat dalam kemalangan pada Grand Prix Qatar, awal pagi tadi yang menyebabkan kecederaan pada paru-paru dan tulang rusuknya.
Martin beraksi buat kali pertama musim ini selepas terlepas tiga pusingan pembukaan susulan kemalangan ketika ujian pra-musim yang menyebabkan kaki dan tangannya patah.
Baca Juga:
- Marc Marquez Terus Cemerlang Ungguli Perlumbaan Sprint GP Amerika 2025
- MotoGP: Enea Bastianini Cemerlang Tawan GP Malaysia 2023
- Penganjur MotoGP Indonesia Habiskan RM30,000 Untuk Bayar Khidmat Bomoh ‘Tolak Hujan’
Pelumba Sepanyol itu terjatuh pada di selekoh 11 ketika pelumbaan memasuki pusingan ke-14 berhampiran bahagian tepi litar yang menyaksikan beliau kelihatan sukar untuk bangun sebelum dibawa ke pusat perubatan.

Keadaan Terkini Jorge Martin
“Jorge Martin menjalani imbasan CT yang menunjukkan peningkatan pada pneumotoraks (udara terperangkap di antara paru-paru dan dada). Ini memerlukan prosedur pemasangan saluran untuk menyedut udara,” kata Aprilia dalam satu kenyataan.
“Pelumba itu perlu berada di bawah pemerhatian di hospital selama beberapa hari sehingga masalah pneumotoraks tersebut pulih sepenuhnya.”
“Pemeriksaan akhir juga menunjukkan terdapat enam keretakan pada lengkungan posterior kanan dari tulang rusuk satu hingga enam.”
Aprilia tidak memberikan anggaran masa bagi Jorge Martin untuk kembali berlumba, dengan pusingan seterusnya dijadual berlangsung dua minggu lagi di tanah airnya sempena Grand Prix Sepanyol.
“Prestasi bukan keutamaan ketika ini dan fikiran kami tertumpu kepada Jorge dalam tempoh sukar ini. Kami sentiasa bersamanya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola menurut sumber laporan Reuters.

Pelumbaan di Qatar itu dimenangi oleh pelumba sensasi Ducati, Marc Marquez manakala disusuli rakan sepasukan, Francesco Bagnaia dan tempat ketiga menjadi milik Franco Morbidelli.