Pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco Bagnaia bakal memulakan perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2023 di petak pertama selepas berjaya mengungguli sesi kelayakan yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, sebentar tadi.
Ia merupakan ‘pole position’ pertama buat Bagnaia selepas kali terakhir melakukannya pada GP Catalan yang berlangsung pada awal September lalu.
Baca Juga:
- GP Malaysia 2023: Damok Bermula Dengan Kurang Memuaskan
- Giliran Bahasa Melayu Buat Kemunculan Di MotoGP Selepas Pelumba Dan Pasukan Dari Malaysia
- Macam Pelumba MotoGP, Aksi Rider GrabFood Ambil ‘Corner Baring’ Curi Tumpuan Ramai
Bagnaia yang merupakan juara bertahan serta pendahulu keseluruhan menjelmakan tunggangan cemerlang di permukaan trek kering sekali gus mencipta rekod terpantas dengan satu minit 57.491 saat (s).
Catatan yang dirakamkan pada pusingan terakhir (ketujuh) itu menyaksikan pelumba berusia 26 tahun tersebut meninggalkan pencabar terdekatnya, Jorge Martin hanya dengan kelebihan 0.058s.
Martin terlepas peluang untuk memperbaiki catatan masa tersebut selepas beliau terlibat dalam kemalangan pada pusingan terakhir.
Perseteruan antara Francesco Bagnaia dan Jorge Martin jelas amat menarik untuk disaksikan dalam perlumbaan di Sepang ini apabila kedua-dua pelumba tersebut hanya dipisahkan dengan 13 mata.
Rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini akan memulakan saingan pada petang esok di petak ketiga dengan catatan masa satu minit 57.590s.
Alex Marquez daripada Gresini Racing MotoGP pula di kedudukan keempat dengan satu minit 57.661s.
Sementara itu dua pelumba Mooney VR46 Racing Team, Luca Marini dan Marco Bezzecchi akan bermula di barisan ketiga sekali gus melengkapkan dominasi Ducati pada enam petak teratas.
Nasib malang menimpa juara enam kali MotoGP, Marc Marquez yang mengalami kemalangan pada sesi kelayakan pertama dan hanya akan bermula di petak ke-20.